Malaysia merupakan antara negara yang aktif menghantar wakil ke setiap pertandingan ratu cantik peringkat antarabangsa.

Beberapa wakil Malaysia yang dipilih sebelum ini juga mempunyai pakej lengkap dengan memiliki wajah yang jelita dan paling penting bijaksana.

Namun fenomena hari ini menyaksikan peserta Malaysia masih gagal melepasi beberapa peringkat utama yang dipertandingkan.

Baik Miss Universe, Miss World, Miss Earth, Miss Grand International dan banyak lagi.

Bagi Miss Grand Malaysia 2018, Debra Jeanna Poh, fenomena ini sememangnya berlaku namun ini bukan bermakna Malaysia harus berhenti menghantar perwakilan ke setiap pertandingan ini.

“Pertandingan ratu cantik ini sama seperti acara sukan, kalah sekali tidak semestinya kalah selamanya, sekiranya kita terus mencuba kita pasti akan berjaya,” kata Debra ketika ditemu bual menerusi program Rupawan AWANI pada Isnin.



Tambahnya lagi, kriteria yang ditentukan untuk pemenang juga berubah saban tahun dan ini menyebabkan setiap perwakilan masih gagal mencapai kriteria yang ditentukan oleh penganjur dan panel juri.

Gadis Sabah berusia 22 tahun ini bakal membawa nama negara ke Myanmar pada Oktober depan dan bersaing bersama lebih 80 peserta dari seluruh dunia.

Antara lain, Debra berkata perbandingan yang dilakukan oleh peminat ratu cantik seluruh dunia di laman media sosial adakalanya mendatangkan tekanan buat dirinya, namun perkara itu tidak sesekali mematahkan semangatnya untuk terus berjuang memberikan yang terbaik buat Malaysia.

“Semua peserta merupakan saingan bagi saya, tetapi di peringkat Asia pastinya peserta Filipina, India, Thailand dan Indonesia, tetapi pastinya ini memberi motivasi untuk saya bekerja dengan lebih keras,” tambahnya.

Pencapaian tertinggi wakil Malaysia setakat ini di pentas ratu cantik adalah menerusi Lina Teoh yang mendapat tempat ketiga di pentas Miss World 1998.

Selain itu, Rahima Orchient Yayah juga berjaya melepasi peringkat Top 10 pada Miss World 1994, Arianna Teoh Top 10 Miss World 1997, Deborah Henry Top 15 Miss World 2007 dan Dewi Liana Seriestha yang menjuarai kategori Miss World Talent di Miss World 2014.