Golongan milenium yang berumur 18 hingga 34 tahun mempunyai pola berfikir dan cara bertindak yang berbeza dengan generasi-generasi yang sebelumnya.

Mereka dilihat lebih cenderung untuk melakukan aktiviti lasak yang berisiko sehingga mendorong mereka mencuba pelbagai kegiatan yang mencabar rasa takut mereka.

Meskipun golongan ini sering kali melakukan aktiviti yang berisiko tinggi namun kesedaran untuk melindungi diri mereka masih di tahap yang rendah.

Kekurangan dari segi kesedaran itu mungkin kerana mereka tidak menyedari pelbagai akibat buruk yang boleh menimpa diri mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Asia Pasifik, George Sartorel, berkata pengambilan insurans oleh golongan milenial biasanya dalam kerangka yang lebih kecil dan fleksibel.

“Golongan ini tidak mungkin membelanjakan RM2,000 untuk membeli polisi bagi melindungi servis belian di atas talian. Mereka cuma mahu tahu adakah pembelian mereka dilindungi sebaik sahaja mereka menekan butang klik.

“Generasi milenial mahukan jenis perlindungan yang apabila mereka memasuki Uber, mereka mendapat perlindungan dari titik A ke B,” katanya

“Jika anda meminta mereka membayar 50 sen untuk insurans perlindungan, mereka mungkin akan memilihnya,” tambah Sartorel.

Beliau percaya golongan milenial masih melihat insurans sebagai suatu kos tambahan dan bukannya sebagai sebuah keperluan untuk perlindungan diri .

“Menawarkan sebuah perkhidmatan insuran yang mampu dibeli oleh orang ramai adalah penting, namun apa yang lebih penting ialah untuk membuat mereka faham akan kepentingan memiliki insuran.” katanya.

Tambahnya lagi, golongan milenial selalunya akan meneliti insuran yang ditawarkan melalui peranti mudah alih mereka sebelum membuat pembelian akhir melalui dekstop.