Sebahagian kucing yang diselamatkan di sebuah rumah di Bandar Baru Sentul di sini Rabu lalu kini dirawat di beberapa klinik haiwan di sekitar ibu negara dan Selangor sebelum diserah untuk dipelihara oleh keluarga baharu mereka.

Pengerusi Sahabat Kucing Jalanan, Mohd Rosli Mohd Ariffin berkata kucing-kucing itu akan dipastikan tahap kesihatan mereka termasuk bebas daripada jangkitan virus.

Beliau berkata sebahagian lagi kucing yang telah dipastikan sihat, kini diletakkan sementara di sebuah premis yang menyediakan perkhidmatan 'hotel kucing'.

"Kami juga akan mendapatkan laporan perubatan daripada beberapa veterinar swasta mengenai tahap kesihatan kucing-kucing berkenaan. Bagi kucing yang sakit antaranya seperti dijangkiti virus Sporo, buta dan menghadapi masalah kulit yang teruk, mereka akan dipulihkan terlebih dahulu.

"Seterusnya kesemua kucing itu akan diberikan vaksin dan menjalani proses pemandulan sebelum diserahkan kepada tuan mereka yang baharu," katanya kepada Bernama.

Menurut Mohd Rosli, sehingga kini bil perubatan untuk rawatan kucing yang sakit itu dijangka melebihi RM6,000.

Pada Rabu lalu anggota Sahabat Kucing Jalanan bersama sepasukan anggota polis dari Balai Polis Sentul berjaya menyelamatkan 46 ekor kucing yang dikurung dan diabaikan di sebuah apartmen di Bandar Baru Sentul.

Langkah menyelamat itu dibuat ekoran aduan Kelab Pencinta Kucing yang mengesyaki seorang individu telah mempergunakan kucing-kucing itu untuk mendapatkan wang daripada orang ramai.

Lelaki berusia 41 tahun yang juga seorang penganggur itu dipercayai menularkan mengenai keadaan kucing-kucing berkenaan melalui Facebook untuk mendapatkan sumbangan kewangan, kononnya bagi membeli makanan dan merawat haiwan-haiwan itu yang sedang sakit.

Mohd Rosli memberitahu jumlah sebenar haiwan itu yang diselamatkan ialah 72 ekor termasuk seekor arnab.

Beliau berkata pihaknya menerima aduan bahawa kucing-kucing itu tidak dijaga dengan baik, tanpa diberi makan dan dibiarkan sakit.

"Beberapa pihak telah turut berjumpa dan berunding dengan lelaki berkenaan bagi menawarkan khidmat merawat kucing-kucing tersebut, namun lelaki itu menolak permintaan mereka dan berkata dia hanya berkehendakkan wang bagi menjaga kucing-kucing itu.

"Pihak kami terpaksa bertindak cepat bagi menyelamatkan kucing-kucing tersebut kerana dipercayai lelaki berkenaan pernah mengugut untuk mencederakan haiwan berkenaan sekiranya terdapat pihak yang cuba merampas haiwan peliharaannya itu," katanya.

-- BERNAMA