Malaysia masih berada di kedudukan tertinggi dalam senarai penyakit kardiovaskular di Asia Tenggara.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, negara menjadi peyumbang utama kepada kencing manis, obesiti dan sakit jantung.

"Kita bukan setakat juara dalam Sukan SEA tahun lalu, namun juara dalam peringkat Asean sebagai penyumbang utama obesiti, sakit jantung dan kencing manis," katanya ketika menyempurnakan Perasmian Fit Malaysia Fasa Tiga Johor di Dataran Tanjung Emas, di sini, pada Sabtu.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Zulkurnain Kamisan dan Ahli Parlimen Muar, Datuk Seri Razali Ibrahim.

Justeru itu, beliau berkata, Program Fit Malaysia adalah platform yang mampu membantu Malaysia melahirkan generasi sihat dan produktif.

Sementara itu, seramai 15,000 orang menyertai program berkenaan yang buat julung kalinya diadakan di daerah ini.

Khairy berkata, misi program bukan setakat menjadikan Muar sebagai bandar yang bersih, malah turut menjadikan Muar sebagai bandar yang sihat.

"Saya percaya dengan sambutan sebegini, Johor boleh menjadi sebuah kelab sukan yang terbaik di Malaysia kelak," katanya.

Terdahulu, acara dimeriahkan dengan program larian sejauh lima kilometer (km) dan 10km serta aktiviti berbasikal membabitkan jarak sehingga 10km dan 30km.