Sejak lebih sedekad, Melaka berjaya mengkomersilkan khazanah warisan bersejarahnya menerusi pelancongan, namun hari demi hari pengkomersilan itu menjadi ancaman kepada tapak warisan.

Kebimbangan ini diluahkan bukan sahaja oleh masyarakat umum tetapi juga Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron yang risau pengkomersilan melampau, terutama di Tapak Warisan Dunia UNESCO, boleh menghapuskan nilai-nilai sejarah tapak.

"Lihat saja Bangunan Stadthuys, berapa banyak gerai yang anda boleh lihat sekarang? Gerai-gerai ini menghalang pandangan pelancong daripada bangunan bersejarah itu, justeru bagaimana pelancong boleh melihat dan merasai 'semangat' sejarah bangunan?

"Apabila kita ambil tindakan, ada orang kata kita kejam tetapi kita mahu pastikan nilai sejarah ini kekal. Bagaimanapun kami percaya ada rahmat di sebalik semua ini, keseimbangan antara pengkomersilan dan pemeliharaan adalah kuncinya," katanya kepada Bernama.

Melaka menerima 15.25 juta pelancong dari seluruh dunia tahun lepas dan menyasarkan 16.5 juta pelawat tahun ini.

Idris berkata untuk permulaan, Melaka mengambil langkah berani apabila melindungi beberapa tempat di tapak bersejarah daripada pembangunan besar-besaran.

"Mewujudkan keseimbangan amat penting dan untuk tujuan itu kami terima cadangan menjadikan bilik di bangunan bersejarah sebagai bilik tetamu untuk pelancong agar mereka dapat merasai sendiri pengalaman tinggal di tapak bersejarah dan pada masa sama memastikan bangunan berusia antara 500 dan 600 tahun tersebut tidak terjejas," katanya.

Idris berkata antara bangunan yang boleh dimanfaatkan untuk tujuan itu ialah kediaman lama gabenor di St Paul's Hill, Bandar Hilir di sini, di mana ada bilik-bilik yang boleh diubah suai menjadi bilik tetamu bertaraf lima bintang.

Beliau berkata konsep memelihara bangunan bersejarah dengan bahagian dalam diubah suai untuk memenuhi keperluan pengkomersilan telah dilakukan dengan jayanya di negara lain, termasuk di dua tapak yang beliau sendiri pernah kunjungi iaitu Topkapi di Istanbul, Turki dan Cordoba, Sepanyol

Idris berkata beliau telah mengarahkan Unit Perancang Ekonomi negeri untuk menyediakan cadangan bagi merealisasikan perkara itu dan memelihara warisan bersejarah Melaka sambil merangsang ekonomi rakyat di sini.

-- BERNAMA