“JANE TEOH miliki peluang yang sama dengan peserta lain untuk menang dan dia punya keunikan tersendiri.”

Itu pendapat yang disuarakan Pengarah Miss Universe Malaysia, Elaine Daly ketika diminta mengulas mengenai Miss Universe Malaysia 2018, Jane Teoh.

Jane Teoh berusia 21 tahun merupakan wakil negara yang bakal bersaing dengan 94 peserta lain di Bangkok, Thailand bagi edisi ke-67 penganjuran Miss Universe.

Gadis kelahiran Pulau Pinang ini memenangi mahkota Miss Universe Malaysia 2018 setelah menewaskan beberapa finalis lain dalam acara yang berlangsung di ibu negara Januari lalu.

Tambah Elaine, Jane menunjukkan prestasi yang memberangsangkan dan sememangnya sudah bersedia untuk berentap di pentas antarabangsa.

“Selain tinggi lampai, Jane juga seorang yang pintar, baik dan punya keistimewaan tersendiri,” tambahnya ketika dihubungi Astro AWANI.

Antara saingan utama pada pertandingan kali ini adalah Catriona Gray dari Filipina, Kiara Ortega dari Puerto Rico, Hhen Nie dari Vietnam, wakil tuan rumah Sophida Kanchanarin dan beberapa nama lain yang dilihat bakal beri saingan sengit kepada Jane.

Edisi kali ini turut menyaksikan saingan dari peserta Afrika Selatan, Tamaryn Green yang mungkin akan mengulangi sejarah pertandingan pada 2008-2009 di mana Venezuala berjaya rangkul gelaran itu back-to-back.

Demi Leigh Nel-Peters bakal memahkotakan Miss Universe 2018 pada 17 Disember depan dengan menampilkan Steve Harvey, Ashley Graham, Carson Kressley sebagai hos.

Untuk menyaksikan temu bual bersama Jane Teoh dalam program Rupawan AWANI, sakiskan video di bawah: