KITA biasa mendengar tentang personaliti popular yang mengumpul pengikut yang ramai di laman sosial.

Tetapi apa yang dipaparkan ini sedikit berbeza kerana yang menjadi bintang bukan manusia, sebaliknya haiwan, iaitu kucing.

Lebih istimewa, kucing-kucing ini bukanlah dari spesis baka mahal yang dibeli di kedai, sebaliknya hanya kucing-kucing biasa yang diambil di jalanan.

Dengan mengumpul lebih 57 ribu pengikut di Facebook, nama Hamdan Karipuley kini merupakan antara kucing bertaraf selebriti yang menjadi tumpuan.

Hamdan Karipuley, baring-baring melepaskan penat setelah seharian meronda di kawasan kediamannya baru-baru ini. -foto: Maktirilawa-

Posted by Hamdan Karipuley on

Diambil sebagai peliharaan oleh pemiliknya kira-kira setahun yang lalu, gelagat Hamdan yang sentiasa nampak comot gara-gara kegemarannya berbaring di luar rumah, menjadi satu bentuk hiburan buat para pengikutnya.

"Saya masukkan gambar-gambar Hamdan dalam Facebook, dalam kumpulan (group) kucing. Lepas itu mulanya adanya permintaan untuk buat akaun daripada orang ramai.

"Mereka suka tengok gelagat Hamdan nampak kotor," kata Fadzura.

Biarpun kini sudah menjadi kucing domestik, namun Fadzura masih membawa Hamdan keluar bersiar-siar di sekitar kawasan rumah, memandangkan Hamdan sudah terbiasa dengan cara hidup sebegitu.

Fadzura yang bertugas sebagai editor di salah sebuah syarikat media turut memberitahu mempunyai perancangan memperkenalkan cenderahati atas nama Hamdan.

Pulangan daripada penjualan cenderahati itu akan digunakan untuk membantu kucing-kucing jalanan serta pusat perlindungan kucing.

Lain pula kisahnya buat Ruzita Ibrahim. Pemilik 10 ekor kucing jalanan ini pada mulanya hanya mengambil seekor kucing dari jalanan, yang dinamakan Ommiey, sebagai peliharaan.

Akaun Facebook Ommiey mula mendapat perhatian netizen selepas Ruzita merakam gelagatnya membawa kunci untuk membuka pintu.

Justeru, tidak hairanlah kini, akaun Facebook itu sudah mengumpul lebih 12 ribu pengikut.

Bila nak siap tu ommieee...ko asyik membuta jerr..

Posted by Ommie Ommey on


Bagi Ruzita, kucing jalanan, jika dijaga dengan baik, tidak mustahil untuk menjadi secantik dan seistimewa kucing berbaka mahal.

"Menjaga kucing jalanan lebih mudah sebab tak cerewet. Kucing-kucing mahal, sebagai contoh, perlu kerap grooming dan sebagainya," kata Ruzita.

Biarpun datang daripada keluarga yang sederhana, namun Ruzita bersyukur kerana rezeki kucing-kucingnya sangat luas apabila sering mendapat bantuan daripada pihak luar.

Kucing, bagi Ruzita, merupakan sejenis haiwan yang sangat memerlukan perhatian. Kerana itu, adalah penting untuk pemilik memberi perhatian dan kasih sayang demi memastikan ia mammpu hidup sihat dan membesar dengan baik.


TONTON: Kucing selebriti jadi bintang di laman sosial