Sememangnya diakui ramai pihak, ratu cantik Filipina Catriona Gray bakal mencipta gelombangnya tersendiri dalam arena Miss Universe.

Hanya selepas tiga tahun Pia Wurtzbach memenangi gelaran tersebut pada 2015, Catriona buktikan tiada yang mustahil untuk negaranya mengulang kemenangan dalam tempoh singkat.

Ini sekali gus menyaksikan Filipina cipta sejarah memenangi semula gelaran tersebut kurang daripada lima tahun.

Suatu ketika dahulu Gloria Diaz merangkul gelaran Miss Universe 1969 dan hanya dalam masa empat tahun Margarita Moran ulangi kejayaan tersebut pada tahun 1973.

BACA: Catriona Gray dari Filipina bawa pulang gelaran Miss Universe 2018

Selepas tempoh itu Filipina menanti selama 42 tahun sebelum berjaya memenanginya mahkota dambaan ramai wanita itu.

Di awal tahun 2000, Filipina kurang menonjol di arena ini namun segalanya bermula semula pada 2010 menerusi Venus Raj yang melepasi peringkat Top 5 namun tewas di tangan Ximena Navarette dari Mexico.

Selepas itu Filipina terus menerus mengorak langkah untuk mara ke peringkat tertinggi sehinggalah Pia Wurtzbach memecah kebuntuan tersebut menerusi kemenangan penuh kontroversi di saat Steve Harvey tersalah umum nama pemenang pada 2015 di Las Vegas, Amerika Syarikat.

Namun dua edisi sebelum ini turut menyaksikan kegagalan Filipina untuk mara ke peringkat Top 3 apabila Maxim Medina yang beraksi pada 2016 gagal untuk meneliti dan mendengar soalan yang ditanyakan dan hanya mampu mengakhiri saingan di peringkat Top 6.

Seterusnya Rachel Peters juga antara perwakilan Filipina yang kurang menonjol apabila hanya berjaya mara sehingga ke peringkat Top 10 pada tahun lalu dan menyaksikan Afrika Selatan, Columbia, Jamaica, Thailand dan Venezuela mara ke Top 5.

Kemenangan berpihak kepada Demi Leigh Nel-Peters dari Afrika Selatan untuk edisi tersebut.

Walau apapun, kemaraan peserta ini membuktikan benua ini sememangnya mampu menonjolkan kelainan dengan menghantar setiap perwakilan yang punya aura luar biasa untuk menang.

Catriona dijangka akan meneruskan kehidupannya sebagai Miss Universe sama seperti pemenang edisi terdahulu memenuhi tuntutan untuk melakukan banyak kerja-kerja kebajikan selain miliki peluang untuk menjelajah dunia memenuhi misi Confidentially Beautiful.

Selain peserta Nepal yang memberi cabaran ke peringkat Top 10, paling istimewa dalam edisi kali ini, peserta dari negara-negara Asia Tenggara turut memberi saingan hebat, misalnya ratu cantik Indonesia yang melepasi saingan Top 20, peserta Thailand di Top 10, dan Vietnam di Top 5.