Syarikat penerbangan kos rendah Saudi, Flynas buat pertama kalinya bakal merekrut wanita untuk berkhidmat sebagai pembantu juruterbang dan atendan penerbangan.

Difahamkan, wanita di negara itu tidak dihalang untuk bekerja dalam sektor penerbangan, namun sebahagian besar pekerjaan tersebut dimonopoli rakyat asing termasuk dari Filipina.

Jurucakap Flynas memberitahu hampir 1,000 wanita Saudi memohon jawatan pembantu juruterbang dengan syarikat itu dalam tempoh hanya 24 jam.

“Syarikat berminat untuk memperkasakan wanita Saudi bagi memainkan peranan penting dalam transformasi kerajaan.

“Wanita adalah bahagian penting kejayaan syarikat penerbangan ini,” jelasnya.

Larangan wanita memandu di Saudi ditarik balik Jun lalu sebagai salah satu usaha Putera Mahkota Mohammed Salman untuk mengubah ekonomi pengeksport minyak tertinggi di dunia. -Al Jazeera