SENI mempertahankan diri adalah aktiviti yang menyihatkan serta dapat memberi pelbagai manfaat kepada pengamalnya.

Ramai yang mengetahui bahawa seni mempertahankan diri merupakan antara cara terbaik untuk menguatkan fizikal dan mental, selain meningkatkan tahap kecergasan dan menjadikan seseorang itu lebih baik dari sehari ke sehari.

Ada yang menganggapnya sebagai sukan, tidak kurang juga yang melihat seni mempertahankan diri sebagai perjalanan dan juga cara hidup.

Sebagai contoh, Agilan Thani menggunakan seni mempertahankan diri untuk melakukan transformasi diri daripada seorang remaja yang obes kepada atlet MMA yang kuat dan tangkas, manakala keyakinan diri Jihin Radzuan turut meningkat sebaik saja dia mula menceburkan diri dalam seni bela diri.

Mari kita terokai tiga kelebihan seni mempertahankan diri dalam membantu meningkatkan kualiti kehidupan.

#1 Mengurangkan stres

Berlatih menumbuk di dalam kelas tinju ataupun melakukan latihan Brazilian Jiu-Jitsu bukan perkara yang mudah, namun, ia boleh membantu anda melupakan masalah dan tekanan di tempat kerja.

Pada masa yang sama, melepaskan kemarahan dengan berlatih menumbuk atau menendang bagi melepaskan geram adalah sesuatu yang amat menyeronokkan.

Berlatih menumbuk atau menendang 'heavy bag' boleh membantu seseorang melepaskan tekanan. - Foto Instagram/@monarchymma

Setiap cabang seni mempertahankan diri memberi penekanan kepada kepentingan mengawal badan dan minda daripada berfikir atau melakukan sesuatu perkara yang tidak berfaedah.

Adalah penting untuk seseorang itu kekal aktif kerana ia dapat merangsang badan untuk mengeluarkan endorphin, yang mampu mengurangkan risiko masalah kesihatan.

#2 Berkenalan dengan rakan baharu

Cara paling mudah untuk mencari rakan atau kenalan baharu adalah dengan menyertai gim dan bertemu dengan pelbagai individu yang berkongsi minat yang sama.

Perkara ini diakui sendiri oleh Agilan dan Gianni Subba, yang turut memberitahu bahawa gim adalah seperti rumah kedua mereka dan semua orang di situ dianggap seperti ahli keluarga.

Menyertai gim antara cara yang mudah untuk mendapat kawan baru. - Foto Instagram/@monarchymma

Selain itu, bergandingan dalam sesi latihan akan turut memberi motivasi untuk menjadikan diri anda lebih baik. Ini kerana, anda bukan saja dapat menonjolkan kekuatan diri, malah, dapat bertemu dengan bakal 'best friend' anda.

#3 Menghilangkan berat badan berlebihan

Kebanyakan aktiviti senaman boleh membantu seseorang mengeluarkan peluh, namun, hanya seni mempertahankan diri memberikan latihan yang menyeluruh.

Seseorang individu itu boleh membakar sehingga 700 kalori dalam tempoh sejam - bergantung kepada disiplin dan kekuatan, berbanding aktiviti kesihatan yang lain.

Agilan (kiri) berjaya mengubah diri daripada seorang remaja yang obes kepada atlet MMA yang hebat menerusi seni mempertahankan diri. - Foto Instagram/@agilanthani

Antara contoh terbaik selain Agilan ialah Juara Dunia ONE Featherweight, Martin Nguyen yang berjaya mengurangkan berat badan melalui latihan Brazilian Jiu-Jitsu.

Jadi, untuk menurunkan berat badan dan mengurangkan ukuran saiz pinggang, kaedah terbaik adalah dengan melakukan aktiviti seni mempertahankan diri.