Seseorang pembikin filem yang mencintai dunia filem tempatan tidak sewajarnya menggesa penonton memboikot atau tidak menggalakkan mana-mana penonton untuk pergi ke pawagam menyaksikan filem yang mereka tidak gemari.

Itu bukannya sayang, tetapi ia adalah kebencian.

Selaku pengarah, saya tidak pernah sesekali mempunyai niat untuk menyebarkan kebencian kepada seluruh warga Malaysia menerusi filem-filem saya. Saya mahu kita bersama-sama meraikannya.

Dalam filem FLOWER IN THE POCKET, dua kanak-kanak Cina bersahabat dengan seorang gadis bernama Ayu dan mereka membentuk sebuah persahabatan yang suci, begitu juga dengan filem LELAKI HARAPAN DUNIA yang berpesan bahawa kita tidak boleh melupakan atau meminggirkan semangat gotong-royong yang sekian lama menjadi tradisi nenek moyang kita. Itulah yang membawa kita bersatu tanpa mengira bangsa dan agama sebagai satu kesatuan dalam sebuah negara, tanpanya kehidupan harmoni kita selama ini akan menjadi ‘huru-hara’.

Namun, apabila sebahagian daripada kita yang hanya memfokuskan kepada sisi negatif dalam filem ini, maka virus negatiflah yang akan kita perolehi. Sebaliknya, jika kita melihatnya dari sudut positif, kita pasti akan mendapat sesuatu yang bernilai yang mahu saya sampaikan.

KLIK GALERI FOTO LELAKI HARAPAN DUNIA

Saya telah pun membuat kenyataan sebelum ini dan akan terus berpegang kepada kata-kata tersebut kerana saya yakin akan kebenarannya, yang saya sayangkan dunia sinema. Saya juga sayangkan negara saya. Satu titik yang menyatukan kedua-duanya, sinema dan negara adalah keunikan kepelbagaiannya.

Saya mahu meraikan kepelbagaiannya dan tidak sesekali menjauhkan diri daripadanya. Saya yakin sahabat saya, Allahyarham Yasmin Ahmad turut bersetuju dengan saya.

Untuk itu, pergilah menonton filem Lelaki Harapan Dunia sebelum anda menghakiminya. Saya sedar wujudnya sekelompok khalayak yang sedang disalut nafsu amarah mereka sedang berkompang di luar sana tetapi saya berharap anda dapat menyertai saya bersama-sama meraikan filem ini.

Selamat datang!

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Liew Seng Tat adalah pengarah 'Lelaki Harapan Dunia' yang sedang ditayangkan di pawagam seluruh negara.