Pelakon popular Zul Ariffin berharap, filem 'Sangkar' lakonannya nanti akan dapat menarik lebih ramai rakyat Malaysia untuk menceburi sukan seni bela diri campuran (MMA).

Katanya, MMA di negara ini semakin pesat berkembang dan tujuan filem (Sangkar) itu dibuat adalah supaya mereka jatuh cinta dengan sukan itu.

"Ini pertama kali saya hadiri acara ONE Championship dan saya terkejut bahawa organisasi antarabangsa seperti ini boleh menarik ramai peminat tanah air untuk turun memberi sokongan kepada atlet-atlet negara.

"Saya rasa ini masa yang sesuai.. untuk adakan filem aksi sukan di Malaysia," katanya kepada pemberita selepas menghadiri kejohanan ONE: Destiny Of Champions, Jumaat lalu.

Zul yang terkenal menerusi drama Gerak Khas dan filem Hantu Kak Limah mengakui, dia sendiri telah jatuh cinta dengan sukan itu selepas melalui sesi penggambaran filem tersebut dan berlatih dengan petinju Britain, James McSweeney.

"Bila saya ada masa saja, saya akan pergi berlatih (MMA). Mencabar juga bekerja dengan atlet MMA sebenar ni... saya ingat lagi pertama kali saya melangkah ke dalam gelanggang dengan McSweeney, saya terus kaku.

"Dia besar dan sepanjang penggambaran, saya turut kena tumbuk di muka, tapi tak apa.. saya suka. Kita nak bagi dia nampak 'real'," katanya.

Selain itu, dia juga berharap agar filem ini mendapat sambutan pada tahun hadapan dan tidak mahu lagi lihat filem-filem berunsur gengsterisme dan jenayah.

"2018 tahun yang bagus untuk industri filem tempatan dan saya harap ia bukan sesuatu yang bermusim.

"Kejayaan ini turut membuka peluang kepada pembikin-pembikin filem muda dan saya harap mereka tidak takut untuk mencuba sesuatu yang baharu," tambahnya.