Seluruh negara pastinya sudah tahu mengenai kemenangan atlet muda MMA wanita negara, Jihin Radzuan pada acara ONE: Masters Of Destiny di ibu negara pada Jumaat yang telah menundukkan Jomary Torres dari Filipina.

Namun, mungkin ada yang tidak perasan bahawa Jihin telah diiringi dua artis popular tempatan semasa membuat 'walkout' ke gelanggang di Axiata Arena, Bukit Jalil malam tadi.

Zul Ariffin, yang merupakan pelakon utama filem 'Sangkar' - sebuah filem berkisarkan sukan seni bela diri campuran (MMA), mengiringi Jihin bersama pasukannya.

Selain Zul, mereka juga disertai penyanyi Aman RA, yang turut menyanyikan lagu 'Fighter' untuk soundtrack filem tersebut.


BACA: MMA: Jihin gegarkan KL dengan kemenangan 'triangle choke'

Jihin ketika ditemui Astro AWANI mengakui, gimik tersebut merupakan sebahagian dari promosi filem Sangkar yang akan ditayangkan di pawagam mulai 29 Ogos ini.

Selain itu, Jihin berkata dia turut membuat penampilan dalam filem tersebut.

"Kalau tengok Sangkar nanti boleh la nampak saya jadi extra (pelakon tambahan) dalam ring," katanya sambil ketawa.

"Sebenarnya saya tidak sangka mereka (Zul dan Aman) akan mengiringi saya. Saya masa tu tak pakai kanta lekap jadi tak saya perasan, tapi bila dah dekat barulah saya sedar," kata Jihin lagi.


Filem Sangkar merupakan filem aksi sukan MMA yang pertama di Malaysia.

Antara pelakon lain yang membintangi filem ini ialah Remy Ishak, Mira Filza, Ray Johara dan Adam Mika.