Jika diikutkan rasanya kita baharu sahaja diceriakan dengan kehadiran penyanyi dan penghibur yang terkenal dengan genre dangdut, Zaleha Hamid atau lebih mesra dipanggil 'Mama Zaleha' dalam program hiburan, Gegar Vanganza.

Semasa konsert akhir yang diadakan di Dewan MBSA, Shah Alam, Mama Zaleha kelihatan sihat dan ceria sambil melayan keletah pengacara rancangan Nabil Ahmad dan juga Jihan Muse.

Namun khabar terbaharu diterima, Mama Zaleha telah diserang "minor stroke" dan kini sedang dalam proses pemulihan.

Ketika dihubungi Astro AWANI, suami Zaleha, Ungku Ismail, 54, yang mengesahkan perkara itu memaklumkan bahawa isterinya itu terjatuh di dalam bilik air pada jam 5 pagi, pada Isnin 23 Disember lalu.

"Pada mulanya tiada tanda terkena ‘minor stroke’, namun saya berasa tidak sedap hati jadi saya hubungi dia namun anak yang angkat panggilan saya.

"Saya terus minta cuti separuh hari dan bawa Mama ke klinik sebelum diminta untuk merujuk kepada Hospital Besar," katanya yang ketika itu sedang berada di pejabat.

‘Minor stroke’ yang menyerang Zaleha menyebabkan bahagian kanan muka, serta tangan dan kaki kirinya tidak dapat digerakkan seperti biasa.

Ungku turut menyatakan kini isterinya menetap di rumah adiknya buat sementara waktu kerana mudah untuk pergi melakukan terapi.

Ungku juga meminta agar peminat dan masyarakat Malaysia boleh mendoakan kesihatan Zaleha supaya bertambah baik.

Zaleha Hamid, 64, adalah penyanyi dan penghibur yang terkenal di Malaysia dan Singapura, selain antara perintis awal kepada irama muzik dangdut di Malaysia.

Beliau turut digelar Ratu Dangdut Malaysia dan Ratu Dangdut Singapura.