Penyanyi Yuna sekali lagi berjaya mengukuhkan kedudukannya di persada antarabangsa apabila muncul sebagai salah seorang calon dalam E! People’s Choice Award menerusi kategori The Most Inspiring Asian Woman 2019.

Yuna atau nama sebenarnya Yunalis Mat Zara’ai bakal berentap dengan tujuh lagi calon dari India, Thailand, Korea Selatan, Indonesia dan China.

The Most Inspiring Asian Woman 2019 merupakan anugerah yang julung kalinya dipertandingkan dalam E! People’s Choice Award.

E! People’s Choice Award akan diadakan pada 11 November depan di California, Amerika Syarikat.

Antara calon yang bakal memberi saingan kepada penyanyi kelahiran Batu Gajah, Perak itu adalah pelakon Indonesia, Raline Shah; model dan pelakon Thailand, Praya Lundberg; penyanyi dan pelakon India, Alia Bhatt dan penyanyi rap Korea Selatan, CL.

Semua calon dipilih berdasarkan impak kejayaan mereka dalam mencerminkan kepelbagaian dan kebudayaan di seluruh rantau ini.

Mereka bukan sahaja terkenal dalam lapangan kerjaya masing-masing, tetapi apa yang penting turut dikenali dalam usaha dan kerja keras yang memberi kesan kepada masyarakat dan dunia secara umumnya.