PELAKON Nabila Huda memohon maaf berkenaan isu yang membabitkan gerai makanan miliknya, Waroeng Isabella yang dikritik oleh netizen.

Beroperasi di Rasta Taman Tun Dr Ismail, Damansara, Nabila yang ditemubul oleh HLive mengambil kritikan terbabit dan memperbaiki kekurangan pada masa akan datang.

"Saya mohon maaf dengan kekurangan dari pihak saya. Saya akan perbaiki kelemahan atau kekurangan tersebut, saya minta maaf banyak-banyak," kata Nabila.

Pelakon drama bersiri Dendam Aurora ini juga enggan memanjangkan perkara terbabit.

"Sebenarnya tak ada apa-apa terjadi pun... Kita baru buka kedai, biasalah orang mengharapkan benda yang 'perfect' tapi tak seperti apa yang dijangka.

"Tapi like what I said, jika kita nak cakap pasal perkara ini lagi pun, akan berpanjangan. So, the best way is kita minta maaf dan perbaiki kekurangan.

"Saya tak rasa down atau apa-apa pun, saya okay sahaja. Tak mengapa, bila orang dah cakap macam tu, kita nak cakap macam mana. Kita terima apa yang diperkatakan dan ikhlas memohon maaf daripada hati sendiri," katanya lagi.

Nabila bakal terlibat dalam teater Ola Bola The Musical yang bakal dipentaskan tidak lama lagi.

Ola Bola The Musical dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya bermula 12 Februari ini sehingga 8 Mac 2019.

Orang ramai boleh mula mendapatkan tiket Ola Bola The Musical bermula 15 Januari di Buyticket.Asia.

Untuk berita hiburan yang padat dengan informasi, jangan lupa saksikan HLive! yang bersiaran pada setiap Isnin hingga Sabtu pada jam 8.30 malam di Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123).