SEBUT saja rancangan televisyen kanak-kanak "Sesame Street", pasti ramai terkenang watak paling popular dalam siri tersebut - Big Bird.

Watak burung gergasi berwarna kuning itu cukup popular buat mereka yang membesar dengan rancangan berbentuk pendidikan tersebut.

Namun perkhabaran sedih apabila pelakon yang membawa watak Big Bird selama lebih 50 tahun disahkan meninggal dunia pada usia 85 tahun semalam.

Caroll Spiney menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Connecticut, Amerika Syarikat pada Ahad.

Menurut kenyataan Sesame Workshop, mendiang meninggal dunia setelah sekian lama menghidap gangguan saraf ‘dystonia’ yang menyebabkan pergerakan otot sukar dikawal.


Pelakon itu bersara daripada Sesame Street tahun lalu selepas memulakan pengalamannya dengan watak Oscar the Grouch pada 1969, seekor raksasa hijau bersikap pemarah yang tinggal di dalam tong sampah.

Lebih manis, mendiang memainkan dua karakter berbeza yang sekian lama menghiburkan jutaan kanak-kanak.

Kedua-dua watak berkenaan hidup dalam dunia magik hasil ciptaan pereka Jim Henson bersama pelbagai karakter lain termasuk Bert and Ernie, Cookie Monster dan Kermit the Frog.

"Caroll seorang artis genius yang membantu membentuk Sesame Street sejak permulaannya pada tahun 1969 dan berterusan sehingga lima dekad.

"Bakat besar dan kebaikan hatinya amat sesuai bagi memainkan watak burung besar kuning itu yang membawa kegembiraan kepada kanak-kanak dan peminat pelbagai lapisan usia di seluruh dunia," kata Sesame Workshop lagi.

Untuk rekod, Spinney telah mengutip lima Anugerah Daytime Emmy serta satu anugerah pencapaian seumur hidup National Academy Of Television Arts And Sciences untuk sumbangannya kepada siri televisyen kanak-kanak itu.

Sesame Street yang meraikan ulang tahun ke-50 menerima salah satu anugerah budaya tertinggi Amerika Syarikat, Kennedy Center Honors dalam sebuah majlis di Washington semalam.