PELAKON Hollywood, Zac Efron, terpaksa menaiki penerbangan kecemasan dari Papua New Guinea ke Australia selepas dilaporkan mengalami situasi yang mengancam nyawa.

Menurut laporan media antarabangsa, pelakon berusia 32 tahun itu disambut pasukan perubatan kecemasan di lapangan terbang Brisbane apabila disahkan terkena jangkitan kuman.

Terkini, beliau dilaporkan berada dalam keadaan stabil selepas terlantar di St Andrew War Memorial Hospital di Spring Hill untuk beberapa hari.

Beliau kemudiannya dibenarkan pulang ke rumahnya di Amerika Syarikat pada malam menjelang Krismas sebaik doktor mengeluarkan laporan kesihatan penuh terhadapnya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Penyelamat dan Perubatan, Dr Glenn McKay yang bertugas berkata, beliau yang memantau penerbangan kecemasan tersebut tidak menyangka ia membawa bintang High School Musical di dalamnya.



Beliau hanya dilaporkan oleh pasukan penyelamatnya bahawa terdapat seorang lelaki warga Amerika Syarikat dalam lingkungan 30-an diterbangkan ke Brisbane untuk menjalani rawatan kecemasan.

Efron yang menerima pujian menerusi lakonannya dalam filem bersiri ‘Ted Bundy in Extremely Wicked’, pada tahun ini, dilaporkan berada di Papua New Guinea bagi menjalani penggambaran dokumentari televisyen arahannya sendiri iaitu ‘Killing Zac Efron’.

Zac Efron berada di Papua New Guinea bagi menjalani penggambaran dokumentari televisyen arahannya sendiri iaitu ‘Killing Zac Efron’.

Beliau yang melakukan ekspedisi bagi dokumentarinya di kawasan pergunungan, hutan tebal, pulau-pulau berbahaya, hanya berbekalkan peralatan asas.

Difahamkan, beliau tidak mempunyai akses kepada internet dan bekalan elektrik selama 21 hari sepanjang ekpedisi tersebut.