KEPUTUSAN mahkamah untuk tidak membebaskan penyanyi antarabangsa Kesha daripada kontraknya bersama sebuah label dibawah syarikat rakaman gergasi, Sony mencetuskan kemarahan netizen.

Ia berikutan kes mahkamah antara Kesha dan penerbit muzik dan pemilik label Kemosabe Records, Lukasz Sebastian Gottwald atas kes gangguan fizikal dan seksual.

Hakim Shirley Kornreich berkata tiada cukup bukti perubatan dalam kes ini.

“Saya tidak faham mengapa saya perlu mengambil langkah memberikan injunksi,” kata Kornreich, dipetik daripada The Hollywood Reporter.

Walaupun Gottwald bersetuju untuk tidak melibatkan diri dalam projek Kesha namun peguam Kesha mendakwa keputusan sebegini menunjukkan Sony memilih untuk menjaga kepentingan Gottwald.

Padangan yang sama turut dikongsi oleh peminat-peminat Kesha yang berkata syarikat rakaman itu seakan tidak mengambil peduli atas kes gangguan seksual ini.

Hashtag #FreeKesha dan #SonySupportsRape kini memenuhi garis masa Twitter.








Penyanyi ‘Tik Tok’ itu memfailkan tuntutan mahkamah terhadap Gottwald pada 2014 kerana mengalami gangguan fizikal dan seksual.

Menurut laporan The Guardian, serangan itu berlaku ketika Kesha baru sahaja menandatangi kontrak bersama Gottwald pada 2005 ketika beliau berusia 18 tahun.

Kesha mendakwa Gottwald memberikan dadah dan alkohol sebelum melakukan serangan seksual.

Namun Gottwald menafikan kesemua dakwaan Kesha yang dianggap sebagai kenyataan yang tidak benar.

Peguam kepada Gottwald turut berkata beliau telah melabur sebanyak $60 juta (RM252.49 juta) dalam kerjaya Kesha.