BERITA gembira buat peminat Spider-Man!

Syarikat penerbitan filem antarabangsa popular Sony Pictures dan Marvel akhirnya mencapai kata putus untuk membawa Spider-Man kembali ke layar perak.

Pada Jumaat, kedua-dua syarikat mengumumkan bahawa Marvel Studios dan presidennya, Kevin Feige bakal menerbitkan filem ketiga di dalam siri “Spider-Man: Homecoming”.

Ini bermakna, pelakon Tom Holland bakal ditampilkan semula bagi memegang watak yang mengangkat namanya sebelum ini iaitu Peter Parker atau Spider-Man.

Ia juga sekali gus mengiyakan ura-ura pada beberapa minggu ini, di mana kedua-dua syarikat sedang mencari jalan terbaik bagi kerjasama itu.

BACA: Tiada lagi Spider-Man dalam MCU, bagaimana nasib Tom Holland?


Pada Ogos lalu, peminat filem Marvel dikejutkan dengan berita kedua-dua syarikat gergasi itu yang berselisihan faham berkenaan perjanjian keuntungan di antara mereka berhubung hak bagi watak adiwira itu.

Masalah timbul apabila Disney yang hanya menerima 5 peratus daripada keseluruhan kutipan untuk sekuel "Spider-Man: Homecoming" dan "Spider-Man: Far From Home" menggesa agar peratusan yang lebih besar diberikan Sony pada masa hadapan.

Namun, pada malam Khamis, rundingan melibatkan kedua-dua studio, termasuk ketua Sony Pictures, Tom Rothman; Presiden Marvel Studios, Kevin Feige; dan Presiden bersama Walt Disney Studios Alan Horn dan Alan Bergman, dibuat.

BACA: Spin-off terbaharu Spider-Man bakal diterajui wanita?


Rundingan tersebut mendorong penyelesaian isu watak adiwira itu di mana Marvel dan Disney akan menerima kira-kira 25 peratus daripada keuntungan filem.

Malah, satu filem sekuel Spider-Man juga bakal muncul menerusi terbitan Marvel Studios pada masa depan. Filem berkenaan dijadualkan memulakan tayangan pada 16 Julai 2021.

Marvel telah melesenkan hak watak Spider-Man kepada Sony selama hampir dua dekad dan ia merupakan satu perjanjian yang dibuat sebelum pengambilalihan Disney ke atas syarikat komik itu pada tahun 2009.

Sony mencapai mendapat pujian dengan kejayaan pertama watak adiwira itu yang diarahkan oleh Sam Raimi dan dibintangi Tobey Maguire.

Bagaimanapun, dalam usaha kedua menerusi arahan Marc Webb dan dibintangi oleh Andrew Garfield, ia gagal mendapat sambutan menggalakkan.