ANDAI kata esok Malaysia mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) dan calon yang bertanding ialah Datuk Seri Siti Nurhaliza, sudah tentu penyanyi tersohor tanah air itu bakal menjadi calon pilihan pengundi.

Selain penyanyi lagu Anta Permana itu, usahawan, pelakon dan pengacara terkenal, Neelofa juga dilaporkan akan menang pilihan raya dengan mudah.

Siti Nurhaliza, Neelofa, Yuna, Aiman Tino dan Fattah Amin berada dalam senarai calon PRU yang menjadi pilihan dalam kaji selidik yang dibuat oleh syarikat penyelidikan digital, Nobleman Creation’s Digital Marketing.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Na’im Brundage, lima selebriti berkenaan dipilih berdasarkan carian nama mereka di Google setiap bulan.

Kaji selidik berkenaan mendapati, kelima-lima artis tersebut berada di kedudukan Top 5 daripada 300 profil selebriti yang ditapis.

Berada di kedudukan teratas tentu sekali Siti Nurhaliza yang mempeorleh carian sebanyak 90,000 diikuti Neelofa (70,000), Yuna (60,000), Aiman Tino (40,000) dan Fattah Amin (30,000).

Dalam kategori ahli politik pula, kajian syarikat berkenaan mendapati Ahli Parlimen Port Dickson yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendahului senarai carian politik di Google dengan namanya dicari sebanyak 110,000 kali setiap bulan.

Sementara itu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berada di kedudukan kedua diikuti Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mana kedua-duanya memperoleh 90,000 carian.

Tidak ketinggalan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng (60,000) dan bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin (30,000).