SIRI animasi popular Upin & Ipin terbaharu kini boleh dinikmati secara eksklusif di Astro.

Semua pelanggan Astro dan NJOI di televisyen serta platform over-the-top (OTT) bukan sahaja boleh menikmati Upin & Ipin malah tiga lagi program serta siri animasi baharu dari Les Copaque Production Sdn. Bhd. (Les’ Copaque).

Tiga produk animasi baharu Les’ Copaque itu adalah Upin & Ipin Iqra, Puteri dan Pada Zaman Dahulu. Ia bakal menemui penonton di saluran Astro Ceria dan Astro Prima.

Ia adalah hasil kerjasama serta kolaborasi antara Les’ Copaque dan Astro Malaysia Holdings Berhad (Astro) dalam segmen perkongsian kandungan, pengedaran dan pemasaran produk animasi.

Naib Presiden Bahagian GenNext Astro, Putri Yasmin Megat Zaharuddin berkata animasi Upin & Ipin dijangka dapat menarik minat lebih banyak penonton di beberapa siaran televisyen di Astro.

“Sebelum ini Astro sudah ada menyiarkan animasi Upin & Ipin tetapi ia terhad di Astro Ceria sahaja.

“Tapi kini Astro memperluaskkan kerjasama ini supaya pelanggan Astro dapat menonton lebih banyak siri animasi baharu dari Upin & Ipin serta Les’ Copaque,” katanya.

Putri Yasmin ditemui dalam Majlis Pengumuman Kolaborasi Strategik antara Astro dan Les’ Copaque di Menara Kuala Lumpur, semalam.

Sementara itu, Pengarah Urusan Les’ Copaque Production Sdn Bhd, Burhanuddin Md. Radzi berkata kolaborasi itu dapat membantu syarikatnya memperluaskan lagi kandungan yang mereka ada.

“Kami hanya pembekal kandungan dan penting untuk kami ada rakan penyiar terutama terbesar seperti Astro.

“Ia membantu kami untuk menyalurkan kandungan yang kami ada terutama Upin & Ipin ke dalam platform seperti Astro,” katanya.

Membuka tirai kerjasama itu penganjuran Karnival Upin & Ipin 2018 akan diadakan pada 20 hingga 23 Disember depan di Tapak Eskpo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).