Peraduan filem pendek 'Shortcuts' oleh Astro membuka peluang kepada penggiat filem untuk meningkatkan kedudukan serta standard perfileman di Malaysia ke tahap global.

Ia juga sebuah platform yang menyediakan pelbagai bengkel yang dikendalikan sembilan pengarah filem tersohor dari rantau Asia Tenggara.

Liew Seng Tat, pengarah filem yang terkenal dengan hasilnya 'Lelaki Harapan Dunia' dan 'Flower in The Pocket' merupakan antara mentor kepada peserta 'Shortcuts'.

Seng Tat ketika ditemui menyifatkan peraduan 'Shortcuts' adalah platform terbaik kepada penggiat filem untuk membina rangkaian, berkongsi pengalaman dan meningkatkan pengetahuan, selain peluang memenangi dana bantuan.

"Melalui 'Shortcuts', peluang bertemu dan membina rangkaian antara pembuat filem akan memberi ruang untuk berkongsi idea serta peluang mewujudkan kerjasama," katanya dalam satu temubual bersama Astro AWANI.

Pengarah filem yang berasal dari Kuala Lumpur itu juga berkata, sebagai penggiat industri yang berpengalaman, beliau yakin banyak perkara lain boleh dipelajari daripada peserta.

"Pada bengkel ini, saya akan kongsikan pengetahuan, pengalaman yang saya sudah perolehi dan saya berharap mereka (peserta) dapat memanfaatkannya dengan sebaik mungkin," kata Seng Tat.

Seng Tat juga berpendapat wujudnya jurang dan komunikasi antara penggiat filem di Asia Tenggara dan berharap platform seperti 'Shortcuts' adalah peluang yang mampu mengurangkan jurang tersebut.

Antara cabaran yang kini didepani industri perfileman adalah dari segi kewangan dan tahap daya saing yang terlalu tinggi.

Bagaimanapun, menurut Seng Tat, Malaysia melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) kini semakin giat dan aktif dalam mewujudkan pelbagai aktiviti dan sokongan khususnya kepada mereka yang baru menceburi bidang perfileman.

Sementara itu, peraduan 'Shortcuts' yang dianjurkan Astro Shaw kali ini menyaksikan 18 peserta finalis terpilih untuk mengikuti bengkel khas selama 3 hari di Kuala Lumpur.

Bengkel yang akan dikendalikan sembilan tokoh ini antaranya Joko Anwar dari Indonesi dan Remton Siega Zuasola dari Filipina akan menumpu kepada topik penulisan skrip, pembentangan dan kemahiran produksi.

Pada akhir sesi, tiga finalis akan dipilih sebagai pemenang selepas kesemua peserta membuat pembentangan dan 'pic' di hadapan panel juri.

Ketiga-tiga pemenang akan memperolah dana 40 ribu ringgit bagi menghasilkan sebuah filem pendek, yang berpotensi ditayangkan di mana-mana festival filem dirantau ini dan disiarkan di A-List Astro, saluran 456.