JIKA dua hari lepas, dia menarik perhatian ramai apabila 'menceroboh' sesi temu bual bapanya dengan BBC, hari ini Marion Kelly sekali lagi berjaya mencuit hati netizen dengan gelagat comelnya.

Marion, pada Rabu, muncul dalam satu sidang akhbar di Korea Selatan bersama bapanya, Profesor Robert E.Kelly.

Sidang akhbar berkenaan diadakan untuk memperjelaskan kekecohan yang berlaku dalam sesi temu bual pada Ahad itu.

Turut serta dalam sidang akhbar itu ialah ibunya, Kim, dan adik lelakinya, James.

Si comel berusia 4 tahun itu bukan sahaja menarik hati ramai dengan tingkah laku yang aktif, tetapi juga gaya pemakaiannya.

Marion hadir ke sidang akhbar itu dengan memakai trench coat berwarna perang muda, serta cermin mata berbingkai merah jambu.








Dalam sidang akhbar itu, Prof. Kelly menjelaskan dia pada mulanya sangat risau dengan kekecohan yang dicetuskan anak-anak dan isterinya dan beranggapan dia mungkin tidak akan muncul di kaca televisyen lagi.

"Memang saya bimbang. Saya terus menghubungi BBC untuk meminta maaf.

"Ketika itu saya terfikir, 'habislah, stesen televisyen takkan panggil saya lagi selepas ini'," kata Kelly.

Namun begitu, Kelly berkata dia gembira kerana gelagat keluarganya itu sedikit sebanyak dapat menceriakan hidup orang ramai.