SEMINGGU selepas didakwa atas 10 pertuduhan jenayah gangguan seksual melibatkan empat orang wanita, penyanyi R. Kelly akhirnya bersuara.

Kelly, atau nama sebenarnya Robert Sylvester Kelly, 52 ditemubual buat pertama kalinya dalam sebuah rancangan stesen TV CBS, selepas siri dokumentari 'Surviving R. Kelly' yang bersiaran selama seminggu itu diterbitkan.

Dalam sebuah klip pendek CBS Evening News yang dimuatnaik di Twitter, Kelly yang ditemubual oleh Gayle King, dilihat menangis sambil menegaskan bahawa tuduhan yang dibuat terhadapnya "tidak benar."

Di dalam video klip itu juga, King menyebut tentang kes Kelly yang sebelum ini turut berunsurkan jenayah seksual.

Bagaimanapun, Kelly berkata, tiada apa yang perlu dijelaskan mengenai isu itu dan menganggap segala tuduhan terhadapnya mengarut.

Memandang tepat ke arah kamera, dia terus berkata, "Itu bodoh! Gunakan akal fikiran anda. Lupakan apa yang anda rasakan tentang saya, bencikan saya jika anda mahu, suka saya jika anda mahu, tetapi tolonglah gunakan akal fikiran anda.

BACA: R Kelly berdepan hukuman penjara dengan bayaran bon RM4.8 juta

"Hentikanlah, saya tidak melakukan perkara-perkara ini," katanya sambil meninggikan suaranya dan mengalirkan air mata. "Ini bukan saya, saya berjuang untuk hidup saya!" ujarnya.

Temuduga penuh akan disiarkan di CBS This Morning pada hari Rabu, 6 Mac pada pukul 7 pagi.

Menurut media antarabangsa, penyanyi itu diperintahkan untuk kembali ke mahkamah pada 22 Mac.

Sebelum ini, penyanyi itu menyerah diri kepada pihak polis pada hari Jumaat, 22 Februari dan dilepaskan pada petang 25 Februari selepas membayar wang jaminan berjumlah $100,000.

Dia didakwa dengan tuduhan melakukan gangguan seksual terhadap empat orang wanita, termasuk tiga darinya bawah umur.