PELAKON cantik, Anzalna Nasir mengakui dia tidak terlalu menitik beratkan soal penjagaan kecantikan terutama rawatan wajah sehingga berdepan dengan masalah jerawat yang teruk April lalu.

Kata Anzalna, 29, dia hanya menggunakan produk kecantikan kulit wajah bernilai kurang daripada RM50 dan hanya mengamalkan diet pemakanan semata-mata.

"Malangnya, selepas pulang daripada bercuti di London pada bulan April lalu kulit muka saya dipenuhi dengan jerawat dan masalah itu semakin teruk ketika penggambaran drama bersiri Dendam Aurora.

"Saya terpaksa mendapatkan rawatan spa wajah dan berjumpa doktor pakar kulit untuk penyelesaian kerana masalah kulit muka saya ketara kalau dilihat dalam rakaman kamera.

"Saya akui memang saya seorang yang kedekut dan kurang mengambil berat soal penjagaan kulit wajah. Produk yang saya beli pun kurang RM50 dan biasanya sekadar pencuci muka sahaja.

"Kadang-kadang saya tidur pun tanpa mencuci muka sampailah pori-pori kulit saya tersumbat kerana lapisan alat solek yang saya pakai seharian," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran sebuah produk penjagaan kulit di ibu negara semalam. - Teks oleh: Amri Hassan