Bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-486 bandaraya Jakarta, Pejabat Pelancongan Jakarta akan mengadakan konsert percuma ‘Enjoy Jakarta’ di Kuala Lumpur pada Jumaat, 14 Jun 2013 bermula jam 8.30 malam – 11 malam.

Konsert yang diadakan dengan kerjasama dengan Kumpulan KRA dari Jakarta itu mendapat pengiktirafan dari Gabenor Jakarta Joko Widodo yang akan turut serta dalam konsert tersebut.

Konsert percuma itu bakal berlangsung di Panggung Anniversary, Taman Tasik Perdana dan melibatkan gabungan artis terbaik dari Indonesia dan Malaysia iaitu Rossa, Ungu dan Amy Search.

Penyanyi terkenal “Atas Nama Cinta” Rossa yang pernah menjadi duta bagi ‘Enjoy Jakarta’ berkata ini merupakan penglibatan kali keduanya.

“Suatu penghormatan dan kebanggaan buat saya ketika diminta kembali ikut serta memeriahkan konsert ‘Enjoy Jakarta’. Saya akan berusaha tampil dengan lebih baik,” kata Rossa.

Rossa juga dikatakan akan menghiburkan penonton di Malaysia dengan berduet dengan ahli kumpulan Ungu, Pasha.

Konsert turut menampilkan pengacara terkenal dari Indonesia Hedi Yunus dan Sarah Sechan yang akan menjadi pengacara pada malam itu.

Konsert Enjoy Jakarta

Selain dari persembahan oleh artis-artis ternama berikut, konsert tersebut turut mempersembahkan tarian tradisional dari Indonesia, seperti Tarian Rampak Nusantara, Tarian Melayu Darussalam dan Tarian Topeng Betawai.

Tujuan konsert ini diadakan adalah bagi mempromosikan bandaraya Jakarta sebagai pelancongan utama serantau dan destinasi pelaburan serta mempamerkan pelbagai budaya kontemporari dan tradisional.