Selepas hampir 15 tahun menyepi tanpa sebarang album, kumpulan 'thrash metal' terkenal tempatan Freedom That’s Gone (FTG) membuat kejutan dalam industri muzik tanah air apabila melancarkan album terbaharu mereka 'Kau Jangan Kurang Ajar!'.

Kehadiran album ini agak mengejutkan dan dianggap langkah berani FTG dan Rockstage Entertaiment di kala industri muzik ketika ini dilihat agak perlahan dan sukar mencari peminat yang mahu membeli cakera padat (CD).

Namun bagi kumpulan itu, ia bukanlah halangan kepada mereka untuk terus menterjemahkan karya seni mereka dan yakin terhadap peminat setia mereka.

Menurut pihak Rockstage Entertainment Talib Othman, pihaknya menyedari pasaran yang tidak begitu baik ketika ini di kala ramai artis hanya mengeluarkan single berbanding album.

“Kami menyedari hakikat itu, tapi kami yakin dengan peminat setia FTG yang sekian lama menantikan album dapat dikeluarkan. Pihak kami juga mensasarkan jualan permulaan sekitar 5,000 unit.

"Promosi turut akan diadakan dalam masa terdekat ini dengan siri jelajah dan akan ke Kuantan pada 26 Oktober ini selain Pulau Pinang, Sabah, Sarawak serta Johor,” katanya ketika ditemui di Majlis Pelancaran Album 'Kau Jangan Kurang Ajar!’ di ibu negara pada Rabu.

Sementara itu, FTG mengakui tajuk album kali ini berhubung kait dengan realiti semasa dalam negara yang kemudiannya diterjemahkan dalam bait dan alunan muzik mereka.

“Kami memang dari dulu lagi, setiap lagu yang kami ciptakan sentiasa terkait dengan realiti semasa. Tapi kami tidak menunding jari kepada mana-mana pihak dan terserah kepada pendengar untuk mentafsirkannya,” kata pemain bass FTG, Azmie Ibrahim atau Mie.

Bagi vokalis kumpulan itu, Tajul, apa yang terlahir dalam album kali ini adalah inspirasi FTG sendiri yang lebih berterus-terang dalam setiap lirik tanpa selindung dan identiti dahasa ‘direct’ (terus terang) itu dikekalkan sepertimana album-album mereka yang pernah lahir sebelum ini.

“Biarpun mungkin kedengaran kasar tapi itulah hakikat dan realiti semasa ketika ini yang berlaku dalam negara. Biarlah ia begitu kerana itulah FTG,” katanya ketika ditemui Astro AWANI.

Album 'Kau Jangan Kurang Ajar' memuatkan lapan lagu -- Kita Bukan Anjing Kalau Bodoh Jangan Sombong, Demokrasi Mimpi, Ibu Maafkan, Aku Bukan Izrail, Pengkhianatan Lahanat, Dajjal dan Kau Jangan Kurang Ajar.