Malam ini, Piala Malaysia 2014 bakal menyaksikan pertarungan sengit di antara juara bertahan Pahang Darul Makmur dan pasukan Johor Darul Takzim (JDT) yang pertama kali melangkah kaki ke peringkat akhir untuk merebut piala berprestij itu.

Perlawanan diantara pasukan Tok Gajah dan Harimau Selatan itu, pastinya akan mendapat perhatian daripada selebriti yang berasal dari dua negeri tersebut.

Tahun lalu, Dato’ Siti Nurhaliza telah memberikan sokongan sepenuhnya kepada Pahang ketika pasukan negeri kelahirannya menentang Kelantan di Piala Malaysia 2013.

Malah, Siti turut turun padang untuk meraikan 'Malam Tok Gajah' yang telah diadakan pada 9 November 2013 di Stadium Darul Makmur, bagi meraikan kejayaan pasukan Pahang yang telah menewaskan Kelantan.

Siti juga telah mempersembahkan lagu 3K (Ku Lihat Ku Sokong Ku Banggakan) pada malam tersebut.

Lebih meriah lagi, pada tahun lalu artis-artis yang berasal dari negeri Cik Siti Wan Kembang seperti Pekin Ibrahim serta Neelofa turut memeriahkan media sosial mereka dengan kata-kata semangat dan sokongan kepada pasukan Red Warrior.

Pada tahun ini, Astro Gempak merasakan media sosial yang bakal menjadi perhatian sempena Piala Malaysia 2014 ialah Dato’ Siti Nurhaliza dan Amy Search kerana, selain mempunyai peminat yang ramai mereka juga antara yang tidak jemu memberikan sokongan setiap kali berlangsung perlawanan bola sepak yang melibatkan negeri kelahiran masing-masing.

Astro Gempak difahamkan, malam ini Stadium Nasional Bukit Jalil bakal dibanjiri lebih 40,000 penyokong Tok Gajah dan Harimau Selatan.

Malah, Astro Arena menerusi akaun Facebook mereka memberitahu, para penyokong sudah mula memenuhi perkarangan stadium sejak awal pagi tadi.

Pasukan mana yang bakal menjulang Piala Malaysia 2014 jangan lupa menyaksikan perlawan ini secara langsung di Astro Arena (saluran 801 dan 802 HD) bermula dengan pra-rancangan pada jam 8.00 malam. - Astro Gempak

Anda juga boleh menonton secara langsung di onthego.astro.com.my atau memuat turun aplikasi telefon pintar Astro-on-the-Go.