PELAKON popular Datuk Aaron Aziz menceritakan pengalaman menyeronokkan di set penggambaran filem Kollywood, Tik Tik Tik di India.

Katanya walaupun hanya pelakon sampingan, Aaron dilayan seperti raja sepanjang tiga minggu berada di Chennai, India, untuk sesi penggambaran pada tahun lepas.

"Jika di Malaysia, pembantu akan beri pakaian dan kita akan pakai sendiri tetapi di sana (India), pembantu sanggup tukarkan pakaian sehingga tolong pakaikan tali pinggang dan zip, tetapi saya kata saya boleh lakukan sendiri, " katanya sambil tertawa.

Ditanya mengenai kesediaannya menerima tawaran itu walaupun sekadar melakonkan watak sampingan, pelakon kelahiran Singapura itu berkata beliau bukanlah mengejar glamor dan populariti, sebaliknya ingin mempelajari perkara baharu, tambahan pula berpeluang untuk bersama barisan pelakon dan pengarah terkenal.

Aaron yang turut mengakui kehebatan industri perfileman India, berkata banyak perkara yang boleh dipelajari oleh industri hiburan tanah air daripada industri filem Kollywood.

Mengimbas kembali pengalamannya berlakon di India, beliau berkata: "Pada hari pertama penggambaran, saya dibawa ke sebuah gudang yang bukan macam tempat 'production' tetapi apabila masuk ke dalam, ia seolah-olah masuk dunia baharu. Seramai 300 orang menjalankan tugas masing-masing sewaktu sesi pengambaran di tempat yang sama.

"Banyak perkara berlaku serentak tetapi diurus dengan baik. Saya juga diberi layanan yang sungguh baik. Saya kagum dengan industri di sana," katanya.

Beliau melakonkan watak jahat dalam filem sains fiksyen 'Tik Tik Tik', bermaksud bunyi jam, yang berkisar tentang penjelajahan kapal angkasa pertama India. Dialognya diungkapkan dalam bahasa Inggeris.

Selain Ravi dan Aaron, filem arahan Shakti Soundar Rajan itu turut dibintangi Nivetha Pethuraj dan Ramesh Thilak. Filem itu ditayangkan di pawagam di seluruh dunia sejak 22 Jun lepas dan menerima sambutan menggalakkan.

Rata-rata netizen di media sosial khususnya di Instagram memuji lakonan Aaron dalam filem 'Tik Tik Tik' yang sedang ditayangkan di beberapa pawagam di seluruh dunia termasuk Malaysia, India, Australia dan United Kingdom.

Aaron turut menyatakan kesediaannya untuk berlakon lagi dalam filem Kollywood jika ada tawaran dan menyarankan pelakon tempatan untuk menerima peluang berlakon di Kollywood sekiranya berkesempatan. - Sumber: Bernama