SELEPAS dikecam di media sosial untuk beberapa hari, pelakon Parvathy TK akhirnya membuat laporan polis mengenai buli siber yang dihadapinya.

Pelakon yang pernah memenangi anugerah pelakon terbaik di Filmfare Awards itu, menghadapi ancaman serangan asid dan rogol kerana mengutuk dialog Megastar Mollywood, Mammootty dalam filemnya Kasaba.

Dialog tersebut, menurut Parvathy menghina golongan wanita dan sangat menyedihkan.

Parvathy yang membuat debutnya dalam Bollywood tahun ini bersama Irfaan Khan dalam filem Qarib, mengesahkan laporan polis itu kepada NDTV.

“Ia semakin teruk. Ramai orang cuba menjatuhkan saya, memberi ancaman dan saya rasa teraniaya,” kata pelakon berusia 29 tahun itu.

Awal bulan ini, dalam sebuah forum terbuka di festival filem antarabangsa Kerala, Parvathy bercakap mengenai prasangka terhadap wanita dalam industri filem.

Tanpa menamakan Mammootty, Parvathy meluahkan kekecewaannya terhadap pelakon yang terkenal itu kerana bersetuju berlakon dengan dialog yang merendahkan golongan wanita dalam filem Kasaba.

Parvathy terus dikutuk peminat Mammootty yang kemudian mengancam keselamatannya termasuk ditakut-takutkan dirinya akan dibunuh, dirogol dan diserang asid.

Parvathy turut berkata Kasaba adalah contoh cara wanita digambarkan dalam filem dan industri filem harus peka dengan mesej yang ingin disampaikan kepada penonton.

Bagaimanapun, kutukan Parvathy mengenai filem Kasaba bukan yang pertama. Terdahulu, ramai aktivis wanita pernah mengutuk filem dan dialog Mammootty itu.