PELAKON veteran Idris Md Diah telah menghembuskan nafas terakhir awal pagi tadi.

Berita kematian pelakon itu dimaklumkan rakan seperjuangan Azman Hassan melalui satu kemas kini di akaun Facebook.

"Inna lillahi wa'inna ilaihi roji'un, Al-Fatihah dan doa sejahtera buat Allahyarham seniman Idris Md Diah yang telah kembali ke rahmatullah awal pagi ini."

Pada masa sama, anak arwah Alia memaklumkan ayahnya tidak sedarkan diri sekitar jam 2 pagi dan keluarga terus menghubungi ambulans.

Idris disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan pada jam 2.30 pagi.

Jenazah Allahyarham Idris dibawa ke Masjid Al-Faizin Desa Jaya, Kepong untuk pengurusan solat jenazah dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Ehsan, Kepong, sebelum zohor.

Allahyarham Idris sangat sinonim dengan karakter bapa dan datuk dalam beberapa drama seperti Menantu Bilal, Andainya Takdir dan Zahir Tak Terucap.

Idris juga popular dengan watak 'Pak Andak" menerusi drama bersiri 7 Hari Mencintaiku 2.