Pengarah dan penerbit teater Ola Bola The Musical, Datin Seri Tiara Jacquelina menjanjikan persembahan muzikal terbaik yang pernah disaksikan rakyat Malaysia.

Bukan cakap-cakap kosong kerana Tiara, yang sudah mengarahkan banyak pementasan teater yang berjaya, mengakui sedang berusaha untuk membawakan teknologi tercanggih dan termaju dalam pementasan teater.

"Bukan cara saya untuk berjanji, tapi kali ini berbeza kerana saya sangat yakin dengan kemampuan team yang telah saya pilih," kata Tiara yang sebelum ini pernah membintangi teater muzikal, 'Puteri Gunung Ledang The Musical dan The Secret Life of Nora di Istana Budaya di sini.

Mengimbas proses pemilihan pelakon, kata Tiara, pihaknya cukup berbangga apabila lebih 300 bakat tempatan hadir untuk ujibakat, Ogos lalu.

"Sampai satu tahap, kami terpaksa memanjangkan proses ujibakat sehingga jam 12 tengah malam.

"Tapi saya gembira kerana ia menunjukkan Ola Bola The Musical sudah mendapat tempat, walaupun baru di peringkat pemilihan," ujarnya.

Tiara memaklumkan, kepelbagaian dan perpaduan kaum yang melatari filem Ola Bola, akan turut dipersembahkan bukan sahaja melalui jalan cerita, tetapi juga pelakon-pelakon yang terpilih.

Tiara ditemui dalam majlis memperkenalkan 40 pelakon muzikal itu, yang akan diterajui Brian Chan sebagai Tauke, Luqman Hafidz sebagai Ali, Abimanyu Masilamani sebagai Muthu, Iedil Putra sebagai Rahman, Kai Chalmers sebagai Eric, Lim Jian Wei sebagai Ah Chai, Melissa Ong sebagai Mei Ling dan Altimet sebagai Sarjan Ahmad.

Majlis berlangsung Malaysia Tourism Centre, petang tadi.

Turut diperkenalkan adalah rakan penaja CIMB Bank serta Astro sebagai rakan media rasmi.

Ola Bola The Musical terbitan Enfiniti, diadaptasi dari filem box-office terbitan Astro Shaw dan bakal dipersembahkan di Istana Budaya dari 8 Februari hingga 11 Mac 2018.