AHLI kumpulan K-pop terkenal MONSTA X, Wonho tidak dapat beraksi di konsert 'MONSTA X World Tour 2019 We Are Here' di Malaysia kerana tidak menjumpai pasport miliknya setibanya di lapangan terbang Malaysia.

Pengumuman itu dibuat oleh syarikat penyiaran kumpulan MONSTA X, Starship Entertainment melalui satu kenyataan yang dituju khas buat Monbebe (fandom MONSTA X) di laman Twitter rasmi mereka.

Starship Entertainment mengatakan setibanya kumpulan itu di Malaysia pada Jumaat, Wonho mendapati pasportnya tiada dan dia tidak tahu di mana ia berada apabila dicari.

"Pertama sekali, kami ingin memohon maaf kepada semua peminat (Monbebe) kerana salah seorang ahli kumpulan MONSTA X, Wonho tidak akan dapat beraksi pada konsert 'MONSTA X World Tour 2019 We Are Here' di Kuala Lumpur hari ini," katanya.

Wonho kemudiannya telah kembali ke Korea untuk membuat pasport kecemasan dan cuba menaiki penerbangan terawal ke Malaysia supaya dia dapat beraksi di konsert itu.

Namun, ia sangat sukar untuk Wonho tiba di Malaysia sebelum konsert itu berlangsung pada jam 6 petang ini.

Bagaimanapun, agensi tersebut dan Wonho bersetuju bahawa walaupun dia tidak akan dapat menyertai konsert itu, Wonho akan tetap kembali ke Malaysia demi para peminatnya.

Agensi tersebut memohon maaf kerana menimbulkan kebimbangan kepada semua peminat yang menunggu tarikh ketibaan konsert ini dan akan memastikan perkara seperti ini tidak berulang.

Konsert 'MONSTA X World Tour 2019 We Are Here' bakal berlangsung di pentas Stadium Malawati, Shah Alam pada hari ini, Sabtu, bermula jam 6 petang.