PENGKRITIK filem dan budaya, Ku Seman Ku Hussain pernah menulis, filem biografi atau lebih dikenali sebagai filem biopic (biography pictures) bukanlah berada dalam genre dokumentari walaupun menyingkap sejarah hidup seseorang tokoh sama ada yang masih hidup atau telah meninggal dunia.

Dari perspektif Ku Seman, lazimnya, menerusi filem biografi begini, sisi pemikirannya yang terlindung boleh dilihat oleh masyarakat selain cara pengarah memberikan tafsiran terhadap tokoh berkenaan.

Filem biografi, jelas Ku Seman, merupakan sebuah drama yang menuntut tafsiran demi tafsiran.

Justeru, apabila India mengasilkan naskhah pembunuhan pemimpin terulung negara itu, Mahathma Gandhi, pastinya filem ini akan mengundang perdebatan dan perbincangan panjang.

The Gandhi Murder atau 'Pembunuhan Gandhi' yang akan ditayangkan di seluruh dunia pada 30 Januari 2019 tentu sekali akan memberikan pelbagai persepsi kepada khalayak filem serta rakyat India sendiri.

Difahamkan, naskhah ini akan menyingkap 'rahsia'di sebalik pembunuhan Mohandas Karamchand Gandhi atau lebih dikenali sebagai Mahatma Gandhi iaitu seorang pemimpin spiritual dan tokoh politik India.

Tayangan The Gandhi Murder pada tarikh yang sama mendiang dibunuh pada 71 tahun lalu iaitu pada 30 Januari 1948.

The Gandhi Murder merupakan sebuah filem sejarah India yang memaparkan kebenaran, kata penerbitnya, Lakshmi R Iyer.

"Filem ini merupakan pengkisahan di sebalik kebenaran pembunuhan Mahatma Gandhi pada 30 Januari 1948. Ia bukan sebuah festival filem. Ia adalah sebuah kisah aksyen thriller dan juga filem komersil sejarah. Kerana itu, kami terbit dan edarkan secara komersil. Mahathma Gandhi merupakan salah seorang lelaki hebat yang pernah dilahirkan," kata penerbit The Gandhi Murder, Lakshmi R Iyer.

"Naskhah ini mengupas situasi dalam negara selepas kemerdekaan, bagaimana kemarahan rakyat yang memuncak, wanita dirogol dan dibunuh, kanak-kanak menjadi mangsa. Situasai ketika itu merupakan masa yang paling buruk buat India," kata Lakshmi menyambung kisah.




Penghasilan The Gandhi Murder, jelas Lakshmi, dilakukan penuh berhati-hati lantaran tuntutan utama ialah memastikan setiap pelakon memahami jalan cerita dan mampu menumpahkan sepenuh kecintaan dalam lakonan mereka.

"Kita mahu filem ini menembusi pasaran antarabangsa," ikrar Lakshmi

Bertitik tolak pada keinginan yang menggunung ini, The Gandhi Murder menampilkan aktor ternama Hollywood, Stephen Lang ke layar perak sebagai antara tunggak utama filem sejarah arahan Karim Traïdia and Pankaj Sehgal.

Selain Lang, aktor British, Luke Pasqualino yang terkenal menerusi watak Freddie dalam drama bersiri Skins yang diterbitkan pada 2009 - 2010 akan memegang rakan seperjuangan Lang, Nagarwala dalam filem sejarah India itu.

Bercerita mengenai pelakon The Gandhi Murder, Lakshmi berkata: "Stephen Lang dan Luke Pasqualino memegang watak dua pegawai atasan polis, berdasarkan karakter sebenar. Lang melakonkan watak Timbalan Ketua Polis, UH Rana sementara Pasqualino pula merupakan rakan seperjuangan Lang iaitu pegawai polis Mumbai, Jimmy Nagawala."

Memilih pelakon kelahiran Amerika Syarikat, Lang sebagai tunggak dalam The Gandhi Murder, bagi Lakhsmi, aktor berkenaan memenuhi apa yang diperlukan dalam karakter berkenaan.

Jelas Lakshmi, naskhah The Gandhi Murder memerlukan seorang pelakon yang memahami lakonan dari perspektif teater selain watak berkenaan menampilkan 'sisi gelap'.

"Tidak semua pelakon boleh memegang watak sedemikian sehingga ke peringkat sempurna. Lang seorang pelakon yang unik. Dan lakonannya sungguh luar biasa," kata Lakhsmi memuji lakonan Lang yang sebelum ini terkenal dalam filem Avatar.

Naskhah The Gandhi Murder turut menampilkan mendiang Om Puri, seorang seniman terbilang India yang memegang watak sebagai Pengarah Biro Siasatan pertama India.

"Filem ini akan mengupas sekiranya Mahathma Gandhi seorang pemimpin yang penting untuk dilindungi, kenapa polis tidak bertindak pada waktu kejadian," tegas Lakshmi.

Menjejaki semula detik-detik sebelum kematian pemimpin terulung itu, naskhah The Gandhi Murder seakan-akan memberi justifikasi bahawa pihak polis menyedari bahawa terdapat rancangan untuk membunuh sekitar 10 hari sebelum kejadian itu berlaku.