Filem paling banyak dibualkan sepanjang minggu ini, Avengers: Endgame, yang ditayangkan semula dengan adegan tambahan terus jadi perhatian ramai.

Keluaran terbaru ini menyertakan beberapa babak yang dipadam, tribut dan beberapa kejutan selepas penghargaan akhir (ending credit).

Media antarabangsa melaporkan, selain memberi hadiah buat peminat francais itu, ia adalah percubaan Marvel Studios untuk merapatkan jurang kutipan box office seluruh dunia dengan hasil kutipan filem Avatar arahan James Cameron.

Setakat ini, jumlah kutipan untuk filem Avengers: Endgame adalah AS$2.75 bilion (RM11.37 bilion) berbanding filem Avatar yang berjaya mengutip AS$2.78 bilion (RM11.49 bilion).

Ini bermakna, kutipan sekitar AS$30 juta (RM123.99 juta) sudah cukup untuk menyamai rekod kutipan box office Avatar sekali gus meletakkan filem keluaran Marvel Studios ini mencatatkan rekod baharu.

Ketika pengumuman mengenai tayangan semula Endgame, Presiden Marvel Studios, Kevin Feige memberitahu, pihaknya akan membawakan 12 minit babak tambahan sebagai langkah pemasaran untuk menarik penonton menyaksikan keluaran terbaru ini.

Malah, Robert Downey Jr yang memainkan watak Iron Man turut mengajak peminat Marvel untuk bersama-sama mencipta sejarah baharu menerusi keluaran semula filem ini.