Kalau disebut nama Sharwani mungkin ramai yang tertanya siapakah dia.

Namun jika kita sebut Wani dalam filem Hantu Kak Limah barulah fikiran kita akan terus teringat satu watak yang sangat bersahaja dalam menterjemahkan lawak dalam filem Mamat Khalid itu.

Ketika mengimbau saat bagaimana dia boleh terjebak dalam lakonan filem Mamat Khalid, Sharwani atau nama penuhnya Mohd Sharwani Hamad Hadi memberitahu dia diperkenalkan kepada pengarah hebat itu oleh seorang kawannya.

"Sebenarnya saya ni kenal Mamat Khalid melalui kawan saya Nazari Ibrahim. Masa tu sahaja intai peluang kot-kot ada watak sampingan.

"Tak sangka pula boleh melekat terus dengan dia (Mamat Khalid). Kalau ikutkan saya, dah berlakon lebih kurang 15 filem dan telefilem arahan dia," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Bapa kepada dua cahaya mata itu berkata filem pertamanya dengan Mamat Khalid ialah "Rock Oo" pada tahun 2013.

Ketika itu dia hanya memegang watak sampingan sebagai budak orang kurang upaya (OKU).

BACA: 'Rock Oo', sejarah, rock dan kejujuran

"Namun sewaktu 'Rock Bro!' saya pegang watak pemandu dan pengurus pengangkutan band rock Rimba Bara. Dari situ Abang Mamat terus meletakan kepercayaan kepada saya untuk turut sama dalam filem-filemnya yang lain," katanya.

Sharwani berkata dia baru sahaja selesai penggambaran dengan filem terbaharu pengarah tersohor itu yang berjudul Rock 4 'Rockers Never Dai'.

Ia merupakan kesinambungan daripada filem Rock yang sebelum ini dan beliau bersyukur kerana Mamat Khalid sekali lagi memberi kepercayaan kepada beliau dan memberi watak yang lebih besar.

"Sebenarnya kalau kita perhatikan sifat Mamat Khalid, dia seorang pengarah yang tidak meletakkan watak hero kepada satu sosok watak sahaja.

"Sebaliknya dia lebih gemar untuk menjadikan semua pelakon itu berfungsi sebagai watak yang sama kuat untuk memberi impak kepada keseluruhan cerita. Tidak seperti cerita-cerita biasa yang kita tengok dan itu memang kelebihan yang dimiliki oleh Mamat Khalid," tambah Sharwani.

Jika sebelum ini beliau mengakui tidak ramai yang kenal beliau dan menyapa bila keluar rumah, namun beliau tidak kisah mengenai perkara tersebut kerana bukan glamor yang dikejar beliau ketika menceburi industri lakonan.

Sebaliknya, beliau lebih suka dan utamakan pengalaman itu sendiri.

"Kalau dulu memang jarangpun orang kenal saya dan saya tak kisah pun sebenarnya. Tapi selepas filem Hantu Kak Limah tu kehidupan saya memang berubah. Ke mana sahaja saya pergi orang mula menyapa dan menegur," katanya.

BACA: "Sempat satu malam je" - Sharwani menangis terkenangkan Allahyarham Rab Khalid

"Tapi itu bukanlah niat saya untuk menjadi terkenal, tidak sama sekali. Kadang-kala tu ada yang tegur tapi tak ingat kat mana pernah tengok saya, tu biasa.

"Dapat pengalaman berlakon dengan otai-otai dan di bawah pengarah yang hebat seperti Mamat Khalid tu pun saya dah syukur Alhamdulillah," jelasnya yang memang terkenal dengan sifat rendah diri.

Agak mengejutkan juga apabila Sharwani menjelaskan, sepanjang pengalaman berlakon dengan Mamat Khalid beliau tidak pernah diberikan dialog secara spesifik.


"Seingat sayalah, tak pernah kami yang berlakon di bawah Mamat Khalid ni terikat dengan skrip secara total dalam setiap watak. Abang Mamat biasanya berikan garis panduan tertentu yang perlu diterjemahkan oleh pelakon".

"Mula-mula tu susah jugalah, tapi semua pelakon yang terlibat ibarat keluarga setiap kali berlakon. Walaupun mereka tu pelakon hebat-hebat tapi semua akan bantu antara satu sama lain," ujarnya.

Ditanya saat yang paling beliau ingati sepanjang berlakon dengan Mamat Khalid, katanyanya filem Hantu Kak Limah tidak akan dilupakan beliau.

"Hantu Kak Limah sebenarnya bagi saya paling banyak meninggalkan memori. Mana tidaknya, dalam tu ada Ropi.Kalau anda nak tahu macam mana orang tengok watak yang Ropi mainkan dalam filem tu sebenarnya itulah karekternya di luar.

"Kebanyakan kami yang berlakon dalam filem tu memang sentiasa pecah perut sepanjang 'shooting' tu, memang 'enjoy' saja kami termasuk Datuk Awie dan lain-lain," katanya sambil disambut gelak ketawa.

Menyentuh mengenai filem terbaharu iaitu Rock 4 'Rockers Never Dai' yang akan ditayangkan di pawagam 20 Februari ini, katanya arahan terbaharu Mamat Khalid itu membawa sedikit kelainan kerana kisah rock
yang akan dibawakan adalah mengenai kisah kehidupan rock di era ini berbanding tiga filem rock yang lalu.

Malah, jelasnya hampir 90 peratus pelakonnya juga adalah berbeza dengan filem rock sebelum ini.

Justeru, beliau juga tidak sabar untuk menunggu sambutan dan komen daripada peminat-peminat filem rock.

Sharwani yang juga adalah seorang pengurus pembangunan perniagaan di sebuah syarikat turut mempunyai impian seperti pelakon lain yang mahukan cabaran dan kelainan.

Justeru beliau juga mengimpikan untuk cuba mencari pengalaman berlakon di bawah pengarah lain selain Mamat Khalid.