Lembaga Penapisan Filem kekal dengan keputusan mereka meluluskan filem Lelaki Harapan Dunia untuk tayangan, demikian menurut penerbit filem tersebut, Sharon Gan.

Sharon yang menghubungi Astro AWANI berkata, filem tersebut telah ditonton semula oleh badan berkenaan pagi tadi dan panel penilai berpendapat tiada isu kontroversi dalam filem tersebut.

"Panel penilai LPF mahu menonton semula filem tersebut berdasarkan artikel-artikel yang tersiar di media dan setelah menonton, mereka kekal dengan keputusan mereka yang awal. Tiada sebarang unsur kontroversi yang terdapat dalam filem itu," ulas Sharon.

Terdahulu, filem Lelaki Harapan Dunia dikatakan akan dinilai semula oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF) ekoran kontroversi yang mengaitkan filem arahan Liew Seng Tat itu dengan sentimen bangsa Melayu dan agama Islam.

Dalam status pengarah itu di laman sosial Facebook, Seng Tat menulis filem itu berdepan dengan tindakan ditarik balik daripada tayangan di pawagam.

“Sekiranya filem itu diharamkan ia sesuatu yang tidak masuk akal dan keterlaluan. Saya berharap akal yang waras akan diguna pakai dalam penilaian,” tulis Seng Tat.

Filem Lelaki Harapan Dunia telah ditayangkan sejak 27 November lalu dan sudah masuk minggu kedua tayangan dalam Skim Wajib Tayang di pawagam seluruh Malaysia.

Filem lakonan Azhan Rani, Wan Hanafi Su dan Sofi Jikan itu bakal ditayangkan di Festival Filem Antarabangsa Singapura esok.