Kuasa untuk isu penapisan filem di negara ini terletak kepada Lembaga Penapisan Filem (LPF) yang menjadi agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Sehubungan itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata, isu penangguhan filem Disney, Beauty and the Beast di Malaysia tidak berada di bawah kementeriannya.

"LPF di bawah KDN, eloklah tanya mereka apa kedudukan sebenarnya. Ia bukan di bawah kuasa Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) atau KKMM," katanya semasa sidang media selepas merasmikan portal sebenarnya.my di sini hari ini.

Sementara itu, LPF telah memberi kebenaran untuk filem Beauty and the Beast ditayangkan di Malaysia, dengan suntingan kecil dilakukan.

Memetik kata Pengerusi LPF Datuk Abdul Halim Abdul Hamid, dari laporan The Star Online, beliau mengesahkan filem Disney itu telah diluluskan untuk tayangan di bawah klasifikasi P13, iaitu pengawasan ibu bapa digalakkan bagi penonton berusia 13 tahun ke bawah.

Tambah Abdul Halim, apabila sesebuah filem sudah diluluskan untuk tayangan, tarikh dan tempat tayangan tidak lagi berada dalam bidang kuasa LPF sebaliknya perlu dirujuk kepada pengedar filem dan pengusaha pawagam.

Sementara itu, pengusaha pawagam utama seperti TGV Cinemas dan Golden Screen Cinemas masih lagi belum membuat sebarang pengumuman mengenai tarikh tayangan baharu bagi filem tersebut.


BACA: Tayangan filem 'Beauty and the Beast' di Malaysia ditangguh

BACA: Wang tiket filem 'Beauty and the Beast' akan dikembalikan


Netizen sebelum ini mempersoalkan keputusan penangguhan tayangan tersebut. Mereka rata-rata meluahkan rasa kecewa kerana kemunculan filem tersebut sudah lama ditunggu.


Penangguhan itu turut dikaitkan dengan kontroversi wujudnya watak gay dalam filem tersebut, lakonan Josh Gad.

Justeru, ada netizen yang memberi contoh beberapa filem dan drama televisyen tempatan yang memaparkan watak gay dan lelaki lembut, namun tidak pula berhadapan sebarang halangan untuk ditayangkan.

Namun, sebahagian netizen bersetuju dengan penangguhan tersebut bagi mengelakkan orientasi seks homoseksual tidak didedahkan kepada kanak-kanak.

Filem Beauty and the Beast dibarisi pelakon ternama antaranya Emma Watson, Ewan McGregor, Gugu Mbatha-Raw, Ian McKellen dan Stanley Tucci.