Pakar perhubungan awam Sabrina Taylor dipilih oleh produksi filem Lelaki Harapan Dunia sebagai ejen promosi filem tersebut bagi memancing perhatian juri majlis anugerah Oscar.

Sabrina yang sebelum ini terlibat dengan aktiviti promosi filem Birdman: Or (The Unexpected Virtue of Ignorance) bakal mengkoordinasi kempen Oscar untuk filem arahan Liew Seng Tat itu.

Tahun lalu, filem Birdman dinobatkan sebagai pemenang Filem Terbaik di anugerah Oscar.

Berpengalaman luas mengelolakan acara-acara besar Hollywood, Sabrina merupakan koordinator acara untuk Sundance Institute sejak dua tahun lalu.

Susulan kempen Oscar untuk merebut tempat dalam senarai Filem Bahasa Asing Terbaik, filem Man Who Save The World (Lelaki Harapan Dunia) telah ditayangkan di beberapa festival filem pada Oktober lalu.

Antaranya di Comedy Cluj International Filem Festival, Romania, International Intangible Heritage Film Festival di Korea Selatan, Kaohsiung Filem Festival di Taiwan dan Asian World Film Festival di Los Angeles.

Terbaru, filem satira komedi taruhan harapan Malaysia itu ditayangkan di Raleigh Studio untuk Hollywood Foreign Press Association.

Majlis anugerah Oscar bakal berlangsung pada 28 Februari tahun depan.