Filem Lelaki Harapan Dunia karya Liew Seng Tat yang sudah mula ditayangkan sejak 27 November lalu, menerima reaksi pelbagai lebih-lebih lagi apabila ada di antara pengkarya yang terlebih menganalisanya.

Berkonsepkan komedi gelap dan satira, rata-rata yang sudah menonton filem ini mengatakan jalan ceritanya penuh dengan maksud mendalam yang merupakan realiti masyarakat dewasa ini.

Ramai turut memuji keberkesanan watak yang dimainkan barisan pelakon yang membintangi Lelaki Harapan Dunia termasuk beberapa penggiat seni seperti Nabila Huda, Rashidi Ishak dan Redza Minhat.

Paling disukai ramai adalah watak Pak Awang yang dilakonkan oleh pelakon tersohor, Wan Hanafi Su.







Antara lain, turut menjadi perbualan adalah teknik sinematografi , suntingan dan paparan visual yang dianggap terbaik dan terjaga.











Walaupun, mengundang pelbagai spekulasi mengenai jalan ceritanya namun ramai yang tidak bersetuju dengan pendapat bahawa filem ini menyindir bangsa Melayu.

Kata mereka yang menonton, mesej filem ini tidak memberi fokus hanya kepada sesebuah bangsa, perkara yang sama mungkin akan dianggap sekiranya watak yang ada dilakonkan oleh bangsa lain.








Lelaki Harapan Dunia mengisahkan beberapa kejadian malang yang menimpa sebuah kampung yang mengakibatkan salah faham, tuduhan palsu dan suasana riuh sekampung.

Selain Wan Hanafi, filem ini turut membariskan pelakon berpengalaman seperti Harun Salim Bachik, Soffi Jikan, Jalil Hamid, Azhan Rani dan ramai lagi.

Ia diterbitkan oleh Sharon Gan bersama Everything Films Sdn. Bhd. (Malaysia), Volya Films (Belanda), Flying Moon Filmproduktion (Jerman) dan Mandra Films (Perancis).

Lihat apa kata penonton tentang filem Lelaki Harapan Dunia.