PELAKON Fasha Sandha mengakui banyak belajar daripada insiden keguguran kandungannya awal Jun lalu.

Kata Fasha, dia belajar untuk tidak terlalu aktif pada usia awal kandungan dan perlu lebih prihatin terhadap keadaan diri sendiri.

"Memang pada usia sekarang saya berdepan pelbagai risiko seandainya hamil tetapi seperkara yang saya belajar tentang apa yang berlaku ialah menjaga diri sendiri dan tidak terlalu aktif pada masa akan datang sekiranya diberikan rezeki hamil lagi.

"Saya perlu banyakkan berehat dan ingatkan diri bahawa saya sedang berbadan dua," katanya pada Gempak.

Fasha yang turut ditemani suaminya, Aidil Aziz hadir pada majlis rumah terbuka Mind Order di Forest Valley Hall, Cheras pada Jumaat lalu.

Dalam pada itu, Fasha menyifatkan keghairahannya untuk berkongsi berita kehamilannya terlalu awal kepada peminat bukanlah punca insiden keguguran kandungannya.

"Kalau ikutkan sebelum ini pun saya umumkan kandungan saya walaupun masih peringkat awal.

"Orang yang hamil lima bulan pun boleh gugur. Semuanya berbalik pada soal rezeki, sebab tak pernah pun orang cakap umum hamil terlalu awal akan ada perkara tak baik boleh berlaku.

"Tetapi saya tak kisah apa orang nak cakap, semuanya berbalik pada soal rezeki," tambahnya.

Fasha dan Aidil mendirikan rumah tangga pada 30 Mac lalu selepas beberapa bulan berkenalan.

Fasha pernah mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Rizal Ashram Ramli pada 27 April 2012, namun berpisah pada 20 Januari 2016.

Hasil perkahwinan itu, Fasha dikurniakan dua cahaya mata iaitu Putra Rayfal, 6 tahun, dan Putri Raysha Jemyma, 5 tahun.