Pemergian legenda seni negara Tan Sri Jins Shamsuddin sememangnya amat dirasai peminat dan warga seni tanah air.

Garis masa media sosial ketika ini dibanjiri ucapan takziah, daripada pemimpin politik sehinggalah peminat industri seni tempatan yang tidak dapat melupakan lakonan Allahyarham menerusi filem seperti Bukit Kepong dan Ali Setan.

Antaranya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang melahirkan kesedihan beliau susulan pemergian aktor, pengarah dan seniman negara itu.

"Sedih terima berita seniman Tan Sri Jins Shamsuddin telah pulang ke rahmatullah. Takziah kepada keluarga, moga roh dicucuri rahmat. Al-Fatihah," katanya menerusi Twitter malam ini.


Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Zahid Hamidi, pula menyifatkan jasa seniman negara tersebut akan dikenang sepanjang zaman.

GALERI FOTO: Seniman Negara, Tan Sri Jins Shamsuddin dalam kenangan

"Takziah keluarga Allahyarham Jins Shamsuddin. Semoga dicucuri rahmat ke atasnya.

"Jasa seniman negara dikenang sepanjang zaman," katanya menerusi Twitter.


Bagi peminat, sudah tentunya lakonan Jins Shamsuddin akan terus mekar dalam ingatan.






Allayarham meninggal dunia di Taman Melawati, Selangor sekitar 5.45 petang tadi.

Allahyarham tinggal bersama isterinya, Puan Sri Halijah Abdullah di Hulu Klang dan keadaan kesihatannya kurang memberangsangkan selepas disahkan menghidap penyakit Alzheimer sejak 2011.

Allahyarham mempunyai tiga orang anak iaitu Jefri Jins, Putera Hang Jebat dan Putera Hang Nadim.

Allahyarham telah berlakon lebih 40 filem antaranya Sarjan Hassan, Gerak Kilat, Si Tanggang, Bukan Salah Ibu Mengandung dan Sumpah Wanita.

Manakala antara filem arahan Allahyarham adalah Menanti Hari Esok, Bukit Kepong, Ali Setan, Esok Masih Ada dan Balada.