SEMENJAK dari zaman Tan Sri P. Ramlee lagi kita dah ada ramai pemain-pemain industri (peniaga,karyawan,pemuzik dan penyanyi) dan perniagaan muzik sudah pun bermula dari zaman itu lagi.

Banyak transaksi, jual beli, pinjaman wang, kontrak rakaman dan perjanjian antara penggiat seni dan pemain industri yang telah berlaku dari zaman P. Ramlee sehinggalah zaman munculnya "New Media" (digital).

2. Industri muzik kita memainkan peranan penting dalam mencorakkan kehidupan para artis, karyawan dan pemuzik. Banyak wang ringgit yang telah pun kita kongsi bersama dari hasil perniagaan seni kita. Akan tetapi kita terbelenggu dengan masalah industri yang tidak ada penyelesaian sehingga ke hari ini iaitu 'CETAK ROMPAK".

3. Kita semua tahu yang perompak sentiasa ada dikeliling kita, cuma kita tidak tahu siapa perompak-perompak itu saja, malahan "Pemain Industri" pun tidak tahu siapakah perompak-perompak ini. SEMUA hasil kita telah dicetak rompak dan tiada seorang pun yang boleh elak dari hasilnya dirompak, dan kita pun tahu yang tidak ada mana-mana pihak yang dapat membendong kegiatan ini, mahu pun "Pemain Industri" atau pun Kerajaan.

4. Para karyawan, artis, pemuzik dan syarikat-syarikat rakaman telah menanggung kerugian yang berjumlah berjuta-juta ringgit atau mungkin berbillion ringgit kalau nak dikira, tetapi yang pastinya tidak ada seorang pun yang pernah ditangkap dan dihukum dari perbuatan jenayah ini.

5. Akan tetapi masalah cetak rompak ini 'kononnya' sudah berakhir dengan sendirinya apabila industri ini tiada lagi "penjualan fisikal" atau pun "penjualan hard copy" iaitu penjualan record, kaset dan CD, apabila datangnya "Era Digital". Bunyi macam "LEGA", masalah dah selesai. Akan TETAPI kita tetap menanggung kerugian berjuta-juta ringgit atau pun mungkin berbillion ringgit atas kegiatan yang langsung tidak dibendung ini.

6. Sekarang ini kita di zaman digital dan di zaman ini kita boleh mengawal sendiri perniagaan seni ini, iaitu kita boleh rakam sendiri 'produk' kita. Boleh jual "hardcopy" kita sendiri dan mempromosi produk kita sendiri (kalau dahulu kita MESTI dibawah naungan syarikat rakaman.. itu undang-undangnya). Jadi, sekarang ini siapakah yang bertanggung jawab untuk mengawal aktiviti perniagaan seni kita ini? Adakah "Syarikat-syarikat Rakaman Gergasi" seperti EMI, SONY, WARNER, BMG, POLYGRAM ataupun persatuan-persatuan muzik/seni seperti RIM,AIM atau pun badan-badan pengutip royalti? Siapakah yang bertanggungjawab untuk membela nasib perniagaan kita sekarang? Hmmm…masalahnya majoriti syarikat-syarikat gergasi dan persatuan-persatuan ini pun sudah "bungkus" disebabkan corak perniagaan yang berubah secara total.

7. Jadi, persoalannya sekarang adakah semua syarikat rakaman, organisasi dan persatuan penjual-penjual muzik ini RELEVAN di zaman digital ini? Bagi saya mereka ini pun sudah sama macam kita, terkial-kial mencari cara untuk berniaga. Bayangkanlah mereka ini yang sepatutnya membela nasib kita.

8. Bagaimanakah industri FISIKAL yang bunyi macam sudah berkubur ini bertahan pada zaman digital ini? Dalam pada ketidak tentuan cara menjual hasil seni ini, industri muzik masih menpunyai "income", iaitu dari kutipan ROYALTI dari persembahan-persembahan awam yang berjumlah lebih seratus juta setahun. Tidak silap saya (royalti yang RIM, MACP, PRISM dan RPM kutip dari pengguna-pengguna seperti RADIO, KARAOKE, HOTEL-HOTEL, KELAB MALAM dan lain-lain) itu saja "income" yang ada untuk dikongsikan bersama sekarang. Royalti ini dipanggil Performance Royalty (performance maksudnya lagu-lagu yang telah dirakam dan dimainkan untuk hidangan awam). Duit royalti ini lah yang direbutkan oleh dua badan pengagihan sekarang, Prism Berhad dan RPM Berhad. Dalam kemelut perebutan ini, PENYANYI,PEMUZIK DAN PENYANYI LATAR lah yang menanggung kerugian besar, BUKAN PERSATUAN SYARIKAT-SYARIKAT RAKAMAN, KOMPOSER DAN PENULIS LIRIK yang sudah bertahun-tahun selesa dengan kutipan dan agihan royalti ini, cuma PELAKU MUZIK (MUSIC PERFORMERS) yang menjadi mangsa.

9. Dalam zaman gigital ini sudah terang-terangan cara meniaga lama iaitu menjual CD (hardcopy) sudah pupus budayanya (iaitu budaya syarikat rakaman besar dan pengawasan penjualan oleh RIM). Ini semua sudah tidak relevan. Satu-satunya punca income industri ini iaitu performance royalty pun masih tidak ada jalan penyelesaiannya untuk pelaku dan pembikin muzik.

10. Soalannya: Siapakah yang boleh menyelesaikan masalah perniagaan muzik dan pengagihan royalti ini sekarang? kita masih berpaut pada sistem perniagaan muzik dulu (zaman jual kaset dan cd) yang terang-terangan tidak lagi relevan. adakah cara "memusnahkan dan membangunkan semula" diperlukan? Siapakah yang boleh membangunkannya semula kalau ianya dimusnahkan? bukankah selama wujudnya dunia digital ini kita yang bertungkus lumus menjalankan perniagaan yang tidak tentu punca income ini sendiri? kita merakam, kita mempromosi dan kita juga yang menjual hasil kita dari tangan ke tangan.. manakah orang kuat dan pemain-pemain industri ini sekarang?

Mereka semua nampak macam selesa dengan income dari performance royalty ini dan nampak macam kalau boleh jangan di apa-apakan dengan sistem yang ada sekarang. yang pastinya mereka dalam "untung" dan kita selaku "penggerak aktif" industri sekarang ini daalm "rugi".

Ayuh kita fikir-fikirkan dan berbincang sama sendiri apakah cara yang terbaik untuk kita dirikan industri muzik yang baru untuk masa depan zuriat kita.

Maaf kalau kata-kata saya ini memberikan impak negatif. Ini hanya buah fikiran saya.


** Penulis merupakan seorang pemuzik terkenal tanah air. Beliau sering mengiringi persembahan artis terkenal tempatan seperti Datuk M.Nasir, Datuk Siti Nurhaliza dan lain-lain.

*** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.