PELAWAK terkenal dunia, Harith Iskander meluahkan rasa sedih apabila pihak penganjur The Laugh Factory masih belum melunaskan baki wang kemenangannya berjumlah AS$70,000 (RM 280,000) selepas menjuarai pertandingan “Funniest Person In The World” pada akhir Disember 2016.

Menurut Harith, syarikat penganjur acara itu sepatutnya membuat bayaran
secara ansuran setiap kali dia ke Los Angeles, Amerika Syarikat (AS).

“Selepas menang pertandingan itu pada akhir 2016, saya telah kembali ke Los Angeles sebanyak empat kali dan mengikut syarat perjanjian, saya akan dibayar 1/10 bayaran iaitu AS$10,000 (RM40,000) setiap kali saya pulang ke sana.

“Tetapi, saya hanya menerima bayaran sebanyak dua kali sahaja. Apabila saya ke sana buat kali ketiga dan keempat mereka mula tidak membayar baki wang kemenangan saya,” kata Harith kepada Astro AWANI.

Tambah Harith, apabila diperlakukan sebegitu dia tidak mempunyai pilihan lain selain daripada meminta pertolongan peguam untuk membantu proses pembayaran tersebut.

Namun begitu, tiada sebarang maklum balas daripada penganjur selain mereka tidak menghiraukan permintaan peguamnya.

Sehubungan itu, selepas dinasihatkan peguamnya, Harith tidak mempunyai pilihan lain selain terpaksa memfailkan saman terhadap syarikat penganjur itu.

“Saya ambil keputusan saman itu kerana mereka tidak menunaikan janji mereka. Mereka tidak beri saya pilihan lain, jadi saya perlu mengambil tindakan,” ujarnya dalam nada kesal.

Dalam pertandingan Funniest Person In The World pada Disember 2016 di Helsinki, Finland, Harith menggondol gelaran lelaki paling kelakar di dunia di dalam pertandingan dengan mengalahkan 89 pelawak lain dari 56 buah negara seluruh dunia.

Kemenangan itu menawarkan hadiah wang tunai AS$100,000 (RM 407,000) selain ganjaran mengadakan persembahan secara jelajah AS.

Sementara itu, Harith yang juga seorang personaliti televisyen berterima kasih kepada semua peminatnya sama ada dari dalam dalam dan luar negara kerana membantunya memenangi gelaran tersebut.

“Sayang juga sebab diberi layanan seperti ini, tak dibayar tapi apa nak buat hidup kena teruskan.

"Walaubagaimanapun, saya tak pernah lupa semua jasa daripada peminat-peminat di malaysia dan seluruh dunia yang pada waktu itu bantu saya untuk menang,” kata Harith lagi.

Funniest Person In The World adalah pertandingan yang dianjurkan oleh The Laugh Factory iaitu syarikat rangkaian lawak global yang berpangkalan di AS.