Siapa yang tidak mengenali figura penyanyi era 80-an, Sudirman Haji Arshad yang pernah memeriahkan industri muzik tanah air suatu ketika dahulu?

Malah, suara merdunya masih berkumandang di corong radio, apatah lagi menjelang Aidilfitri ini dengan lagu popularnya "Balik Kampung."

Sempena hari kelahiran ikon muzik itu hari ini, syarikat teknologi Google menghasilkan ‘doodle’ atau ilustrasi khas yang dipaparkan di laman utamanya khusus buat pengguna Malaysia.

Ilustrasi tersebut memaparkan Sudirman sedang membuat persembahan di atas pentas.

Ia pastinya akan membuat orang ramai mengimbau kembali kenangan persembahan ‘Singing Lawyer’ itu yang cukup ikonik.

Kisah Allahyarham menjadi antara pemuzik tersohor tanah air bermula ketika beliau cuba mengimbangi hidup sebagai mahasiswa undang-undang di Universiti Malaya dan impiannya menjadi seorang penyanyi.

Sejak menjadi juara Bintang RTM pada tahun 1976, beliau terus mencuri hati rakyat Malaysia dengan suara merdu disulami jenakanya.

Selain menjadi idola dalam industri muzik tempatan, kejayaan Sudirman turut dilakar pada carta lagu di Singapura, Brunei dan Indonesia.

Pada 15 April 1986, penyanyi itu membuat antara persembahan paling ikonik kepada lebih 100,000 penonton di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur melalui satu konsert percuma.

Kejayaannya terus lanjut ke tahap antarabangsa apabila beliau memenangi Asian Popular Music Awards pada tahun 1989 di Royal Albert Hall, London di mana beliau mendendangkan lagu hit "A Thousand Million Smiles."

Namun, kemasyhuran dan kejayaan itu tidak mengubah sifatnya yang dikenali sebagai peramah dan rendah diri dalam kalangan peminatnya.

“Beliau tidak pernah menolak permintaan peminatnya untuk mengambil gambar dan memberikan tandatangannya, serta selalu memaparkan senyuman dan sifat rendah hati,” kata bekas pengurusnya, Daniel Dharanee Kannan menurut kenyataan oleh Google Malaysia.

Allahyarham meninggal dunia pada Februari 1992 ketika berusia 37 tahun akibat penyakit radang paru-paru.

Kini, walaupun setelah 27 tahun Allahyarham meninggalkan kita, suara uniknya masih dihayati dan dikagumi baik dalam kalangan generasi seangkatannya, malah generasi muda.