Proses pemelajaran tidak semestinya membosankan. Bertujuan menjadikan aktiviti ulang kaji peperiksaan (Ujian Pencapaian Sekolah Rendah) UPSR lebih interaktif, seronok dan menarik.

Drama ulang kaji interaktif UPSR pertama di Malaysia ‘Geng UPSR’ kini bersiaran di saluran Astro Tutor TV UPSR (saluran 601) pada setiap Jumaat.

"Drama 30 minit ini menggalakkan pelajar mengulang kaji pelbagai topik secara berkumpulan. Pada masa yang sama, ini boleh meningkatkan kemahiran sosial mereka,” kata Penolong Naib Presiden Astro Tutor TV UPSR Loo Fui Lin.

Tambahnya, pelancaran Geng UPSR ini merupakan komitmen Astro sebagai Rakan Strategik Kokurikulum Kementerian Pendidikan Malaysia untuk menawarkan kepada rakyat Malaysia kandungan yang mendidik, memberi maklumat dan memperkayakan kehidupan.

Drama ini mengisahkan Hud, seorang pelajar darjah 6 yang hilang ingatan akibat kemalangan pada saat peperiksaan UPSR semakin hampir.

Rakan-rakan sekolahnya mengetepikan perbezaan antara mereka bagi memastikan Hud cukup bersedia menghadapi UPSR nanti.

Geng UPSR

“Apabila penonton mengikuti perjalanan Hud dan rakan-rakannya semasa menghadapi UPSR, mereka akan belajar pelbagai topik yang dikaitkan dengan jalan cerita supaya suasana pembelajaran menjadi lebih seronok dan menarik,” tambahnya.

Drama ulang kaji turut dilengkapi dengan aplikasi i-Tutor.

Ia membolehkan pembelajaran interaktif dilakukan terhadap kesemua subjek secara langsung semasa para pelajar menonton drama bersiri ini di televisyen.

Kaedah ini juga boleh meningkatkan pembelajaran menerusi nota ulang kaji dalam bentuk grafik dan menguji pemahaman mereka dalam subjek utama UPSR iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik, dan Sains.



i-Tutor boleh diakses melalui PC, komputer riba, telefon bimbit, atau komputer tablet.

Geng UPSR bersiaran pada setiap Jumaat jam 4 petang di saluran Astro Tutor TV UPSR (saluran 601).