YUUMI Kato yang pernah muncul dalam sitkom Jenaka Kampung Kalut (JKK) musim kedua, merangkul takhta sebagai Miss Universe Japan 2018 di Hotel Chinzanso, Tokyo semalam.

Model dari wilayah Mie yang mempunyai ketinggian 173cm itu mengalahkan 35 wakil yang lain untuk merangkul gelaran itu.

Yuumi, 21 tahun, akan mewakili Jepun untuk berada dalam pentas Miss Universe 2018 yang akan diadakan pada Disember nanti.



Yuumi pernah bermastautin di Malaysia bersama keluarganya selama 11 tahun sejak berumur lima tahun.

Dia bukan sahaja fasih berbahasa Melayu malah boleh bertutur dalam bahasa Inggeris dan Cina.

Sebelum ini, Yuumi sempat memegang watak sebagai Mikan Nakamura, seorang gadis Jepun yang bekerja di sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur, yang mempunyai impian untuk membuka kedai sendiri menjual barangan eksklusif produk Jepun dalam drama JKK musim kedua itu.




Sitkom tersebut yang mula ditayangkan pada 20 Nov 2016, mempersembahkan ranjau hidup Mikan yang tidak pernah terlepas daripada menghadapi masalah dalam usaha mencapai impiannya yang turut dibantu oleh sahabat baiknya, Bijan.

Pelakon tempatan yang turut tampil dalam sitkom itu terdiri daripada Ebby Yus, Ropi, Jep Sepahtu, Issey Fazlisham dan Sari Yanti.