EMPAT gadis berhijab melakar sejarah baharu apabila muncul sebagai peserta Malaysia yang terpilih ke pusingan akhir program realiti antarabangsa, Asia’s Got Talent (AGT) musim ke-3 pada Khamis.

Memperkenalkan diri mereka sebagai Nama, keempat-empat mereka Nur Fazrina Mohd Ani, 28, Noor Syamimi Makhetar, 24; Norfazira Malik, 24; and Nur Farahida Dolhadi, 24, memukau para juri dengan kehebatan nyanyian mereka semasa persembahan separuh akhir sehingga berjaya menempah nama ke pusingan akhir.

Keunikan dan keharmonian nyanyian lagu Fleur East daripada empat sekawan itu meraih kepercayaan dua juri tetap AGT, Jay Park dan Anggun Cipta Sasmi yang memberikan undian buat Nama untuk mara ke peringkat akhir.

Menurut Nur Farzina, mereka akan berusaha keras untuk memberikan persembahan yang terbaik ketika pusingan akhir nanti.

“Apa yang boleh kami janjikan adalah persembahan yang lebih bermakna dan berbeza berbanding persembahan sebelum ini dari aspek pemilihan lagu, penampilan dan aura yang kami bawakan,” ujarnya.

Pada pusingan akhir AGT, Nama juga bakal ditemani seorang remaja genius Matematik dari Malaysia, yang turut menarik perhatian para juri dengan kebijaksanaan dan kepantasannya dalam pengiraan.

Yaashwin, 15 tahun, mendapat gelaran ‘Manusia Kalkulator’ semasa pertandingan itu berlangsung dan memperoleh undian yang melayakkannya berada di pusingan akhir.

Kejayaan itu juga disifatkan Yaashwin sebagai peluang terbaik buatnya untuk mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.

Nama dan Yaashwin bakal berentap dengan lima lagi peserta dari Filipina, Indonesia dan Taiwan di pusingan akhir AGT pada 4 April ini, di Marina Bay Sands, Singapura.

BACA: Lengkap dengan hijab, 'Nama' cipta nama menerusi Asia's Got Talent

AGT akhir menawarkan hadiah wang tunai sebanyak AS$100,000 (RM408,151) kepada pemenang utama.

Keputusan pertandingan akhir Asia’s Got Talent musim ini bakal diketahui pada 11 April.

Pusingan terakhir dan keputusan pusingan akhir AGT musim ketiga ini bakal bersiaran di saluran AXN HD (Astro 721) dan AXN (Astro 701) bermula jam 8.30 malam.