SEPASUKAN anak muda Malaysia telah berjaya mengharumkan nama negara di Festival Koir Dunia 2019 yang diadakan di Jakarta selepas memenangi memenangi pingat emas dalam kategori kumpulan vokal dan acapela.

Elcoro Ensembles yang terdiri daripada sembilan penyanyi dan dua pemuzik menjadi wakil tunggal negara untuk pertandingan yang diadakan di Teater Besar, Taman Ismail Marzuki, Jakarta, Indonesia.

Ahli kumpulan ini datang daripada pelbagai latar belakang, dan mereka tetap berusaha demi minat yang mendalam.
Bagi Azrin Mohd Noor, biarpun berdepan cabaran tersendiri untuk mengumpulkan ahli kumpulan bagi setiap sesi latihan, kejayaan ini merupakan bukti kegigihan setiap ahli kumpulan ini.

"Kami semua datang daripada pelbagai latar belakang, jadi waktu kerja pun berbeza. Tetapi, kami semua mempunyai minat yang mendalam dalam bidang ini.

"Waktu latihan amat mencabar untuk kami dan biasanya latihan diadakan selepas jam 10 malam.

"Alhamdulillah, usaha setiap ahli kumpulan untuk berlatih dan semangat yang ditunjukkan mengumpul wang untuk ke pertandingan ini mendatangkan hasil.

"Kami dedikasikan kemenangan ini buat ibu bapa kami serta cikgu vokal yang terus-menerus memberikan sokongan dan bimbingan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Pingat emas ini bakal membolehkan kumpulan ini ke peringkat seterusnya
Bagi guru vokal yang terkenal sebagai Cikgu Shafi, kejayaan ini membawa makna tersendiri dalam kualiti vokal yang diusahakan anak muda Malaysia melalui studio vokalnya, Shafi Vocal Studio.

"Cikgu berharap mereka akan terus berjaya dan dapat menyertai pertandingan ke peringkat Eropah sememangnya ke arah yg lebih tinggi serta terus mengharumkan nama Malaysia," jawabnya kepada Astro AWANI.

Biasanya latihan dibuat selepas jam 10 malam - Azrin
Tahun lalu, kumpulan ini juga telah berjaya menang di ‘Bali International Choir Festival 2018’ (BICF2018) dalam kategori vokal berkumpulan serta pernah pernah merangkul pingat Perak pada tahun 2017 di Dumai National Choir Festival (DNCF 2017) di Dumai – Riau, Indonesia dalam kategori yang sama.